LATEST
National

Pantun sinis, Ahli Parlimen PH desak Ahmad Maslan letak jawatan jika tidak lagi boleh bersama Kerajaan Perpaduan

Pantun sinis, Ahli Parlimen PH desak Ahmad Maslan letak jawatan jika tidak lagi boleh bersama Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Isu pantun sinis Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dalam Dewan Rakyat tidak berakhir dengan penarikan balik ketika sidang apabila beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mendesak beliau meletak jawatan jika tidak lagi bersetuju dengan Kerajaan Perpaduan.

Baca juga: PKBM buka lembaran baharu tanpa Beasley

Antara yang membuat desakan berkenaan ialah Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson); Aminolhuda Hassan (Sri Gading); Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) dan Mohd Sany Hamzan (Hulu Langat).

Aminuddin berkata, tindakan Ahmad yang menggunakan sesi penggulungan untuk menyampaikan ucapan berunsur politik dan provokasi, bukannya menjawab persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen, amat dikesali.

Katanya, hampir 29 Ahli Parlimen mengemukakan pertanyaan sebelum sesi penggulungan itu, namun jawapan diberikan tidak menjawab persoalan dengan baik.

“Dia sepatutnya mewakili kerajaan yang ada, tetapi yang kita nampak jawapan yang sepatutnya dijawab tidak dijawab dengan baik, tetapi menggunakan platform ini untuk membuat ucapan berunsur politik dan provokasi yang keterlaluan.

“Perkara ini amat mendukacitakan, sebagai sebuah Kerajaan Perpaduan ia tak seharusnya berlaku sebagai seorang Timbalan Menteri yang mewakili menteri.

“Jika beliau rasa kerajaan yang ada pada hari ini tidak dipersetujui, maka beliau tinggalkanlah kerajaan ini.

“Ini penting untuk memastikan kerajaan yang ada dapat berjalan dengan baik,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Parlimen, di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan persidangan Dewan Rakyat petang ini kecoh apabila Ahli Parlimen Pontian itu menyelitkan pantun berunsur sindiran ketika menjawab celahan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) berhubung isu penghapusan tol.

Ahmad (BN-Pontian) berkata, terdapat beberapa janji politik yang masih belum ditunaikan, termasuk berkaitan perkara itu.

Beliau kemudian mengaitkan perkara itu dengan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang sebelum ini membuat pengiraan berkaitan kos penghapusan tol.

“Saya dengar masa itu terutama Tony Pua membuat perkiraan, berdiri di tol MEX dan sebagainya. Penghapusan tol memang ada janji tetapi bukan kami (yang) janji.

“Ada banyak janji tak tertunai. Saya ada pantun mengenai itu: ‘Jika tuan pergi memancing, jangan lupa membawa umpan, kalau tuan tak nak kena ‘kencing’, sokong Barisan dan Perikatan,” katanya seperti dilaporkan.

Selepas dinasihatkan Timbalan Speaker, Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor, Ahmad kemudian menarik balik penggunaan perkataan ‘kencing’ dalam pantun berkenaan, namun menafikan menyebut perkataan Pakatan Harapan ketika menyampaikan sindiran itu.

Sementara itu, Mohd Sany pula mencabar Ahmad supaya meletakkan jawatan dengan segera sekiranya tidak lagi bersetuju dengan Kerajaan MADANI dan Kerajaan Perpaduan.

Beliau mendakwa tindakan Ahmad itu turut mengandungi sindiran terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya nak cabar Ahmad Maslan ni. Kalau dah tak kena selera dengan Kerajaan MADANI, Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini, saya cabar beliau letak jawatan.

“Jangan rasa bongkak, takabur, sombong dan ego dengan kemenangan yang kamu peroleh di Melaka.

“Saya cabar kalau beliau betul-betul anak jantan, kita minta beliau segera letak jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya,” katanya.

Sementara, Khoo berkata, sebagai anggota kerajaan, Ahmad perlu mengamalkan prinsip tanggungjawab bersama (collective responsibility) dan mempertahankan kerajaan, bukannya menyindir kepemimpinan sedia ada ketika menjalankan tugas rasmi.

“Kerajaan hari ini adalah Kerajaan Perpaduan. Sepatutnya ada tanggungjawab bersama, kalau Timbalan Menteri dalam penggulungan beliau mengeluarkan kata-kata sedemikian, menyindir kerajaan yang sedia ada ini, dia sepatutnya letak jawatan.

“Tindakan beliau itu sudah tidak profesional, tidak layak lagi sebagai Timbalan Menteri. Sebagai ‘front bench’ dia sepatutnya mempertahankan kerajaan yang sedia ada.

“Bukannya dalam penggulungan sindir kerajaan yang sedia ada. Jadi dia tidak layak menjawat jawatan berkenaan, dia sepatutnya letak jawatan kalau dia tidak ingin menarik balik kenyataan beliau tadi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news