Manchester: Erling Haaland memberikan jawapan panjang lebar selama lebih dua minit dengan menyenaraikan kelab yang diwakilinya sepanjang tempoh siasatan Liga Perdana Inggeris (EPL) terhadap Manchester City (Man City), sambil mempersoalkan bagaimana beliau sepatutnya menjawab persoalan berhubung keputusan kelab itu didapati bersalah.
Baca juga: Tipu guna AI: Korea Selatan periksa semua cermin mata calon ujian kemasukan IPT
Man City didapati bersalah atas sebahagian besar pertuduhan yang dikemukakan EPL berkaitan salah laku kewangan apabila keputusan siasatan diumumkan pada September lalu. Bagaimanapun, kelab itu kemudian mengemukakan rayuan.
Suruhanjaya bebas memutuskan Man City menyembunyikan pembayaran bernilai £900 juta (RM4.95 bilion) dalam tempoh sembilan tahun menerusi perjanjian yang disifatkan sebagai ‘palsu’.
Man City didapati menaikkan nilai perjanjian penajaan secara buatan selain menyalurkan wang kepada kelab menerusi pembayaran terselindung daripada pemiliknya di Abu Dhabi bagi mengelak peraturan perbelanjaan EPL.
Haaland diajukan soalan mengenai situasi kelab itu oleh penyiar Norway, selepas menjaringkan gol ketika membantu pasukan kebangsaan menewaskan Wales 3-1, Sabtu lalu.
Jawapan awal bintang Man City itu mengambil masa dua minit 14 saat apabila beliau menyenaraikan pasukan yang diwakilinya dari 2009 hingga 2018, iaitu tempoh yang terkandung dalam pertuduhan berkenaan.
“Pada 2009, saya bermain untuk Bryne bawah sembilan tahun (B-9). Pada 2010, B-10. Pada 2011, B-11. 2012, B-12 dan 2013, B-13. Mahu saya teruskan? Kita tidak perlu senarai penuh. Pada 2014, B-14. Pada 2015, B-15 dan pasukan kebangsaan,” kata Haaland.
“Kemudian B-16, saya rasa. Pada 2016, saya dinaikkan ke pasukan utama Bryne, pasukan kedua dan skuad remaja. Pada 2017, saya menyertai Molde. Pada 2018, saya bersama Molde, termasuk pasukan utama, Molde 2 dan sedikit bersama skuad remaja.
“Jadi, ini soalan yang sukar untuk saya jawab kerana ia membabitkan pertikaian undang-undang.
“Ini kes antara EPL dan Manchester City yang akan dikendalikan sebuah panel. Adakah saya sepatutnya menjawabnya? Saya sendiri tidak begitu pasti.”
Haaland kemudian menyenaraikan beberapa pemain Norway yang turut bersama Man City dalam tempoh berkenaan sambil berseloroh mereka mungkin lebih layak memberikan penjelasan mengenai perkara itu.
“Saya rasa ada beberapa pemain Norway di kelab itu sepanjang tempoh berkenaan.
“Abdisalam Ibrahim, Martin Samuelsen dan Omar Elabdellaoui berada di sana. Kjetil Haug juga ada. Saya rasa ada beberapa lagi, tetapi saya tidak ingat.
“Namun, ini soalan yang sukar dijawab kerana saya sendiri tidak begitu mengetahui perkara itu.
“Saya percaya jawapannya akan diketahui nanti, tetapi saya tidak tahu bila. Saya juga tidak banyak membaca mengenainya.
“Sejujurnya, fokus saya adalah untuk memberikan persembahan terbaik buat Manchester City.
“Saya menandatangani kontrak lima tahun bersama kelab itu pada 2022 dan kontrak baharu selama sembilan tahun setengah pada penghujung 2024. Saya rasa itu sudah cukup menjelaskan pendirian saya. Saya pemain City dan sangat gembira berada di sana.”
Man City terus menegaskan mereka mempunyai ‘bukti yang tidak boleh disangkal’ bagi membuktikan kelab itu tidak bersalah. Namun, sekiranya rayuan mereka ditolak, EPL mempunyai beberapa pilihan hukuman termasuk penyingkiran ke liga bawahan atau pengusiran daripada pertandingan.
Haaland yang memenangi lapan kejuaraan utama bersama kelab itu, termasuk kejayaan meraih gelaran Treble pada 2023, turut ditanya sama ada kes berkenaan mempengaruhi pandangannya mengenai masa depan bersama Man City.
“Saya faham anda mahukan tajuk berita menarik di sini, tetapi seperti yang saya katakan, saya menandatangani kontrak jangka panjang pada 2024.
“Saya boleh katakan keputusan menyertai City pada 2022 adalah pilihan yang sangat baik. Kita semua boleh bersetuju mengenai perkara itu. Saya tidak perlu mengatakannya sendiri, tetapi lihatlah trofi yang saya menangi serta perkembangan diri saya di dalam dan luar padang.
“Saya berdiri di sini selepas membantu pasukan kebangsaan menang 3-1 dalam perlawanan antarabangsa dan kami kini mendahului kumpulan di Eropah.
“Prestasi City dalam liga tidak begitu baik ketika ini, tetapi kami akan cuba mengubah keadaan itu apabila menentang Fulham. Namun, kami tidak boleh memikirkan perkara itu sekarang. Fokus kami ketika ini adalah Denmark.”
Man City hanya mencatatkan dua kemenangan dan mengalami tiga kekalahan dalam EPL sejak keputusan suruhanjaya bebas diumumkan pada September lalu.
Skuad kendalian Enzo Maresca kini ketinggalan enam mata di belakang juara bertahan, Arsenal, susulan kemerosotan prestasi mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd