LATEST
National

Tipu guna AI: Korea Selatan periksa semua cermin mata calon ujian kemasukan IPT

Tipu guna AI: Korea Selatan periksa semua cermin mata calon ujian kemasukan IPT

SEOUL: Korea Selatan akan menjalankan pemeriksaan terhadap setiap cermin mata dipakai calon yang menduduki peperiksaan kemasukan institusi pengajian tinggi (IPT) kebangsaan, bagi mencegah penipuan menggunakan bantuan kecerdasan buatan (AI).

Baca juga: Ijat selamat jalani pembedahan ACL, meniskus

Langkah itu diambil susulan skandal penipuan dalam peperiksaan akauntan cukai yang menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem peperiksaan berisiko tinggi di negara ini.

Menteri Pendidikan, Choi Kyo Jin, dalam satu pendengaran Parlimen pada hari ini berkata kementerian itu akan memeriksa semua cermin mata yang dipakai calon pada setiap sesi Ujian Keupayaan Skolastik Kolej (CSAT).

Katanya, peranti pintar sudah dimasukkan ke dalam senarai barangan dilarang dibawa masuk ke dewan peperiksaan sejak Julai lalu.

Cermin mata pintar telah mencetuskan kebimbangan global berikutan ia boleh digunakan untuk mengambil gambar dan merakam video atau audio bahan sulit ataupun orang tanpa pengetahuan mereka.

“Notis amaran akan dipaparkan di luar setiap bilik peperiksaan berhubung larangan dikenakan dan hukuman jenayah terhadap mana-mana calon yang didapati melakukan penipuan,” kata Kyo Jin.

Setiap pusat peperiksaan akan mempunyai sekurang-kurang seorang petugas khusus untuk memantau aspek peranti pintar.

Malah, satu ‘hotline’ akan menghubungkan pusat peperiksaan, pejabat pendidikan tempatan dan bilik kawalan kementerian untuk menangani kes yang sukar diputuskan di lokasi.

Kyo Jin berkata, kementeriannya akan berunding dengan pakar teknologi seperti pengesan isyarat radio, sekali gus mempertimbang untuk memperkenalkan langkah itu pada peperiksaan tahun depan.

Beliau berkata, sesiapa yang didapati memakai atau menggunakan peranti pintar ketika peperiksaan pula keputusannya untuk tahun itu akan dibatalkan, selain dilarang menduduki peperiksaan pada tahun berikutnya.

Malah, katanya, kementerian akan bekerjasama dengan Parlimen untuk melanjutkan tempoh larangan itu daripada setahun kepada antara tiga hingga 10 tahun.

“Pesalah juga boleh dilaporkan kepada pihak polis kerana menghalang tugasan rasmi,” katanya.

Ahad lalu, seorang calon yang memperoleh markah tertinggi dalam peperiksaan akauntan cukai pada tahun ini, mengaku melakukan penipuan.

Lelaki itu mengaku merakam gambar soalan peperiksaan berkenaan dengan menggunakan kamera mikro sebelum menghantarnya ke peralatan AI dan menyemak jawapan melalui telefon pintar.

Sementara itu Perdana Menteri Korea Selatan, Han Seong-sook, hari ini berkata kerajaan akan membentuk sebuah pasukan kecemasan untuk merangka langkah melindungi integriti CSAT.

Beliau turut menggesa pegawai membangunkan teknologi pengesan berasaskan AI, selain mahu hukuman atas kesalahan menipu diperketatkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news