LATEST

Lima rakyat Malaysia ditahan di Thailand, cuba seludup 240kg syabu guna MPV mewah

Lima rakyat Malaysia ditahan di Thailand, cuba seludup 240kg syabu guna MPV mewah

am@hmetro.com.my

Baca juga: Parlimen: Ahmad Maslan tarik balik perkataan ‘kencing’

Kuala Lumpur: Lima rakyat Malaysia antara tujuh ditahan dalam operasi membanteras sindiket pengedaran dadah rentas sempadan di Thailand yang membawa kepada rampasan kira-kira 240 kilogram syabu, minggu lalu.

Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB), Kementerian Kehakiman Thailand dalam kenyataan kelmarin, memaklumkan tangkapan turut membabitkan dua wanita Thailand dalam operasi di wilayah Prachuap Khiri Khan dan Bangkok pada Khamis serta Jumaat lalu.

Menurut ONCB, siasatan mendapati sindiket itu dikendalikan oleh dalang dan pemilik bekalan dadah yang berpangkalan di Malaysia.

“Dalang yang mengarahkan kegiatan sindiket serta pemilik bekalan dadah dikenal pasti berada di Malaysia.

“Sindiket itu menggunakan Thailand sebagai laluan transit untuk membawa dadah dari kawasan tengah negara ini ke wilayah Songkhla sebelum diseludup masuk ke Malaysia,” katanya.

ONCB memaklumkan, sindiket berkenaan mempunyai pembahagian tugas yang tersusun, termasuk kumpulan mengawal kenderaan dan membawa dadah menggunakan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diubah suai dengan ruang tersembunyi.

Dua wanita Thailand dalam rangkaian itu pula dipercayai berperanan menyelaras pergerakan, menempah penginapan dan mengurus transaksi kewangan di Thailand.

Siasatan turut mendapati sindiket menggunakan aplikasi WeChat dan Telegram untuk menyampaikan arahan serta berkomunikasi, manakala bayaran kepada anggotanya dibuat menggunakan ringgit Malaysia.

Pihak berkuasa Thailand turut menyita lapan item harta bernilai kira-kira 700,000 baht (sekitar RM85,000) untuk pemeriksaan lanjut, termasuk wang tunai dalam baht, ringgit Malaysia dan dolar Amerika Syarikat, barang kemas serta jam tangan.

Turut dirampas empat kenderaan dan 13 telefon bimbit.

ONCB memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperluas siasatan terhadap individu yang mengarahkan operasi, pemilik dadah dan anggota sindiket lain yang mempunyai kaitan dengan Malaysia.

“ONCB Bangkok akan menyelaraskan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang Malaysia, khususnya polis Malaysia, bagi bertukar maklumat dan bukti berkaitan.

“Siasatan akan diperluas kepada individu yang memberi arahan, pemilik dadah serta rangkaian berkaitan di Malaysia, selain meneliti aliran kewangan dan mengesan aset yang mempunyai kaitan dengan kesalahan itu,” katanya.

Sementara itu, Pattaya Mail hari ini melaporkan tiga lelaki Malaysia dan seorang wanita Thailand ditahan selepas polis memintas dua MPV mewah yang digunakan untuk membawa bekalan syabu menuju ke Malaysia.

Dua lelaki Malaysia ditahan dalam sebuah MPV di sebuah stesen minyak PTT di daerah Sam Roi Yot, Prachuap Khiri Khan, manakala seorang lagi lelaki Malaysia dan wanita Thailand berusia 24 tahun ditahan dalam sebuah lagi MPV berhampiran pejabat daerah Pran Buri.

Pemeriksaan menemukan 120 kilogram syabu dalam setiap kenderaan dengan dadah dibungkus dalam paket teh Cina dan disembunyikan dalam ruang khas yang diubah suai menyerupai komponen sistem audio kenderaan.

Menurut laporan itu, suspek mengaku mereka diupah oleh dalang berpangkalan di Malaysia untuk membawa dadah dari Thailand ke negara ini.

“Suspek dilaporkan dijanjikan bayaran antara 500,000 hingga satu juta baht (kira-kira RM61,000 hingga RM122,000) bagi setiap penghantaran yang berjaya.

“Mereka juga mendakwa pernah melakukan dua atau tiga perjalanan sebelum ini,” memetik laporan itu.

Pattaya Mail turut melaporkan, sindiket menyediakan kenderaan mewah dengan ruang persembunyian khas, manakala kumpulan lain mengurus nombor pendaftaran dan pelekat cukai jalan bagi perjalanan merentasi sempadan.

Pemandu pula diarahkan berlagak seperti pemandu peribadi kepada seorang pegawai eksekutif kanan, menggunakan penampilan seolah-olah konvoi rasmi bagi mengelakkan perhatian pihak berkuasa.

Menurut laporan itu, maklumat diperoleh ketika soal siasat menunjukkan syabu berkenaan boleh dijual pada harga kira-kira satu juta baht sekilogram di Malaysia.

Anggaran itu menjadikan nilai 240 kilogram syabu yang dirampas sekitar 240 juta baht atau kira-kira RM29 juta di pasaran Malaysia.

Laporan berkenaan turut memperincikan tangkapan susulan tiga suspek di Bangkok pada Khamis dan Jumaat lalu.

Seorang lelaki Malaysia berusia 40 tahun ditahan di sebuah penginapan di Lat Phrao Wang Hin 48, manakala seorang lagi lelaki Malaysia yang juga berusia 40 tahun bersama wanita Thailand berusia 25 tahun ditahan berhampiran persimpangan Huai Khwang.

Semua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Biro Pembanterasan Narkotik (NSB) Thailand untuk tindakan undang-undang, manakala siasatan diteruskan bagi mengesan anggota rangkaian lain serta dalang yang dipercayai berada di Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news