LATEST

Dua maut dirempuh kereta dikejar polis

Dua maut dirempuh kereta dikejar polis

LEEDS: Dua individu berusia 22 dan 23 tahun maut selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta BMW yang sedang dikejar polis di Leeds, Britain.

Polis West Yorkshire berkata, empat individu ditahan susulan kemalangan yang berlaku pada Ahad dan meminta orang ramai tampil menyalurkan maklumat berkaitan kejadian itu.

Baca juga: Ijat selamat jalani pembedahan ACL, meniskus

Menurut jurucakap polis, sebuah BMW 123D berwarna biru gagal berhenti ketika diarahkan sebuah kenderaan polis di Gelderd Road pada pukul 12.44 tengah malam (waktu tempatan), sebelum polis memulakan tindakan mengejar.

BMW itu kemudian merempuh sebuah Volkswagen Scirocco berwarna putih yang sedang membelok memasuki Gelderd Road.

Pemandu Volkswagen, lelaki berusia 22 tahun dari York, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Penumpangnya, seorang wanita berusia 23 tahun yang juga berasal dari York, meninggal dunia di hospital tidak lama kemudian.

Identiti kedua-dua mangsa belum didedahkan secara rasmi.

Seorang lelaki berusia 39 tahun dari Harrogate ditahan selepas disyaki menyebabkan kematian akibat pemanduan berbahaya serta memandu melebihi had yang dibenarkan bagi kandungan ganja. Lelaki itu masih dalam tahanan polis.

Tiga lagi penumpang BMW berkenaan, terdiri daripada dua remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun serta seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ketiga-tiga mereka mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa dan turut ditahan atas tuduhan menyebabkan kematian akibat pemanduan berbahaya.

Sementara itu, Polis West Yorkshire merujuk kes berkenaan kepada Pejabat Bebas Tatakelakuan Polis (IOPC) yang mengisytiharkan siasatan bebas bagi mengenal pasti punca kejadian.

Jurucakap IOPC berkata, pihaknya memulakan siasatan bebas selepas dimaklumkan mengenai kemalangan maut yang berlaku susulan tindakan mengejar kenderaan oleh Polis West Yorkshire.

Menurutnya, siasatan diisytiharkan kira-kira pukul 2.30 pagi (waktu tempatan) sebelum pegawai penyiasat dihantar ke lokasi kejadian serta prosedur pascainsiden polis bagi mengumpulkan bukti.

“Siasatan kami masih di peringkat awal,” katanya.

Persimpangan lokasi kemalangan itu dikelilingi beberapa premis pengedar kereta.

Gambar yang dikongsi di media sosial pada malam kejadian menunjukkan kawasan sekitar Gelderd Road ditutup kepada orang ramai, dengan sebuah jentera bomba, beberapa kereta polis dan ambulans berada di lokasi.

Gambar itu turut menunjukkan sebuah kereta berwarna gelap berada tidak jauh dari sebuah kereta putih yang mengalami kerosakan teruk di hadapan sebuah premis menjual kereta terpakai di Gelderd Road.

Kawasan berkenaan masih ditutup dengan beberapa pegawai polis berada di lokasi, termasuk menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan yang terbabit.-AGENSI

The post Dua maut dirempuh kereta dikejar polis appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news