sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Rakan Suspek Serang Polis Guna Parang Mohon Maaf Kepada Rakyat Malaysia Dan Dedah Sesuatu
Kuala Lumpur: Kekalahan kepada China mencetuskan kemungkinan berlaku rombakan dalam barisan kesebelasan utama Harimau Malaya bagi aksi persahabatan menentang Yaman di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, esok.
Bayangan itu turut diberikan ketua jurulatih interim skuad negara, Tan Cheng Hoe yang mengakui masalah di bahagian tengah menjejaskan mutu persembahan Harimau Malaya ketika tewas 0-2 kepada China di gelanggang sama, kelmarin.
Kedua-dua jaringan China dihasilkan pada separuh masa pertama, namun Harimau Malaya tampil dengan corak permainan lebih baik dalam babak kedua selepas beberapa pertukaran dilakukan Cheng Hoe.
Kemasukan pemain tengah, Haziq Kutty Abba dan Endrick Dos Santos serta tonggak serangan Richard Chin pada babak kedua dilihat membawa perubahan kepada permainan Harimau Malaya dengan mereka berpotensi disenarai dalam skuad utama berdepan Yaman.
Cheng Hoe mengakui berpuas hati terhadap persembahan pemainnya ketika menentang China, namun menegaskan terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki jika mahu menutup aksi menentang Yaman dengan kemenangan.
“Ya, memang saya sebagai jurulatih merasakan mungkin kekurangan di bahagian tengah sedikit sebanyak menjejaskan penguasaan bola ketika menentang China.
“Bagaimanapun, saya rasa penting untuk memberi peluang kepada pemain lain mendapatkan pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa, terutama menentang China yang begitu kuat dari segi fizikal dan taktikal.
“Sebagai jurulatih saya puas hati dengan prestasi setiap individu dalam pasukan. Kalau kita lihat perlawanan menentang China memang kita tahu kelemahan dan kekuatan pasukan kita.
“Pemain sudah menunjukkan satu prestasi yang terbaik dan kita lihat banyak positif daripada negatif. Sudah pasti kita kena bersedia untuk perlawanan seterusnya menentang Yaman,” katanya.
Kombinasi terbaik harus dibentuk Cheng Hoe bagi menentang Yaman kerana kemenangan amat penting buat Harimau Malaya untuk mengelak kesan besar terhadap ranking skuad negara seandainya tewas dalam perlawanan itu.
Ia kerana kedudukan Malaysia yang berada di ranking lebih tinggi iaitu 133 dunia, berbanding Yaman yang menghuni tangga ke-144.
Selain itu, Cheng Hoe tidak menafikan bahawa kekalahan kepada China yang berada di ranking 96 dunia menjejaskan tahap keyakinan pasukannya.
“Sudah tentu dengan tempoh persiapan yang ada ini pemain dapat pengalaman terbaik dan juga satu momentum terutama pasukan bermain dengan begitu baik di separuh masa kedua (menentang China).
“Kita akan teruskan momentum itu dan kita inginkan kemenangan yang akan memberi keyakinan untuk masa akan datang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd