LATEST

PKBM sedia langkah baharu bangunkan skuad trek

PKBM sedia langkah baharu bangunkan skuad trek

sukan@hmetro.com.my

Baca juga: Rafizi masih tidak bertaubat, anggap diri serba betul selepas kalah teruk 2 PRN – NGO

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengambil langkah baharu dalam memperkukuh skuad trek kebangsaan apabila memutuskan untuk memansuhkan jawatan Pengarah Teknikal dan menggantikannya dengan Jurulatih Berprestasi Tinggi dari luar negara.

Keputusan itu dicapai secara sebulat suara menerusi mesyuarat khas Exco PKBM yang berlangsung di Kuala Lumpur, semalam, sekali gus membuka laluan kepada badan induk itu untuk mencari pengganti John Beasley yang sebelum ini memegang jawatan berkenaan sebelum berhijrah ke Jepun.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, pihaknya mahu mendapatkan khidmat jurulatih berprofil tinggi dari luar negara yang mampu membawa skuad trek negara ke tahap lebih dinamik dan bertenaga.

“Mesyuarat EXCO semalam telah bersetuju untuk mencari High Performance Coach daripada luar negara. Kami mahu mencari High Performance Coach luar negara untuk gantikan John Beasley,” katanya menerusi kenyataan PKBM, hari ini.

Tambah Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) melihat keputusan itu akan dimaklumkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) serta beberapa pihak berkepentingan bagi membincangkan pelantikan jurulatih berkenaan dan pemansuhan jawatan Pengarah Teknikal PKBM.

Beliau mengakui bukan mudah untuk mencari pengganti sehebat Beasley, namun menegaskan PKBM perlu segera bergerak ke hadapan bagi memastikan kesinambungan pembangunan skuad trek negara.

“Saya harap keputusan ini akan memberikan sinar baharu kepada pasukan trek berbasikal Malaysia. Saya tahu bukan mudah untuk cari pengganti sehebat John Beasley. Saya mestikan tekankan bahawa PKBM sangat terhutang budi kepada John Beasley.

“Jasa dan budi John Beasley adalah terlalu besar. Memang benar kata pepatah, patah tumbuh hilang berganti. Saya juga mesti tegaskan bahawa adalah sukar untuk gantikan John Beasley,” katanya.

Dalam masa sama, Amarjit percaya Malaysia masih mempunyai potensi besar untuk melahirkan pelumba bertaraf dunia seperti Datuk Azizulhasni Awang, Rizal Tisin, Fatehah Mustafa, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news