am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur merekodkan rampasan bernilai lebih RM7.2 juta hasil tindakan penguatkuasaan membabitkan 574 kes sehingga 30 Oktober lalu.
Baca juga: Abdul Rahman intai kesebelasan utama NSFC
Sebanyak 30,977 premis diperiksa di seluruh ibu negara sepanjang tempoh berkenaan, dengan kes direkodkan membabitkan pelbagai kesalahan mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan KPDN.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Sabri Seman, berkata nilai keseluruhan rampasan yang direkodkan ialah RM7,208,162.76, manakala kompaun yang dihasilkan berjumlah RM658,650.
Katanya, denda berjumlah RM384,400 pula dikenakan menerusi tindakan perundangan dan proses mahkamah.
“Secara keseluruhannya, pencapaian ini menggambarkan skala pelaksanaan aktiviti pemeriksaan, pengesanan kesalahan serta tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan secara berterusan oleh 105 Pegawai dan Anggota Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur dalam memastikan undang-undang perdagangan dalam negeri dipatuhi.
“Selain aktiviti penguatkuasaan, KPDN Kuala Lumpur turut memberikan penekanan terhadap aspek perlindungan pengguna melalui pengurusan dan penyelesaian aduan yang diterima daripada orang ramai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sabri berkata, bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 10,718 aduan pengguna diterima KPDN Kuala Lumpur.
Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 10,467 aduan berjaya diselesaikan, dengan kadar penyelesaian 97.66 peratus.
Katanya, sebanyak 3,611 aduan pula berkaitan perkhidmatan dalam talian, sekali gus menunjukkan urus niaga dan perkhidmatan digital turut menjadi antara aspek penting yang diberikan perhatian.
Beliau berkata, KPDN Kuala Lumpur terus mempergiat penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang perdagangan dalam negeri, melindungi kepentingan pengguna serta membendung penyelewengan dan ketirisan dalam rantaian perdagangan.
“Kita akan terus memastikan setiap aduan yang diterima diberikan perhatian dan tindakan sewajarnya melalui saluran pengurusan aduan yang ditetapkan, di samping memperkukuh pemantauan terhadap aktiviti perdagangan konvensional dan atas talian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd