Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac mencuri perhatian ramai apabila mengumumkan dirinya kini sudah bergelar tunangan kepada bekas Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh pelakon berusia 55 tahun berkenaan menerusi hantaran di Instagram pada Isnin, sekali gus menjawab persoalan peminat yang sering bertanyakan mengenai perancangan perkahwinannya.
Baca juga: KDN beri jaminan, Kes mahkamah Shuhaily bukan alasan operasi AKPS terhenti
Menerusi perkongsian tersebut, Hans memuat naik gambar cincin pertunangan selain meluahkan rasa syukur kerana bakal melangkah ke fasa baharu kehidupan bersama wanita pilihan hatinya.

Malah, beliau menyifatkan keputusan melamar Francisca sebagai antara keputusan terbaik pernah dibuat dalam hidupnya.
Hans turut memperkenalkan bakal isterinya yang berketurunan Kayan dan Iban itu sambil berseloroh bahawa Francisca kini perlu bersamanya buat selama-lamanya selepas menerima lamaran tersebut.
“Dia berkata…….Yes! Selamanya bersama insan kegemaran saya. Untuk selamanya bersama awak, bakal isteri saya yang berketurunan Kayan/Iban.
“Keputusan terbaik yang pernah saya buat dan dia berkata ya. Sekarang dia sudah terikat dengan saya,”selorohnya.

Tidak ketinggalan, pelakon itu sempat mengusik peminat yang selama ini sering bertanyakan bilakah beliau akan mendirikan rumah tangga.
“No more… Hans bila nak kahwin?” tulisnya.
Untuk rekod, Francisca merupakan anak kelahiran Kuching, Sarawak yang pernah dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2020.

Model dan ratu cantik itu juga pernah mengharumkan nama negara apabila mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss Universe 2020.
Perkongsian berkenaan turut menerima perhatian rakan artis dan warga maya yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah serta doa buat pasangan tersebut.
Sumber: IG Hans Isaac