Barisan Nasional (BN) belum mempunyai sebarang perancangan untuk memperluas kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN), termasuk bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan menawan Putrajaya.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama kedua-dua gabungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Melaka setakat ini hanya berlandaskan tafahum siyasi atau kesefahaman politik.
Baca juga: KSN cipta sejarah! Jadi graduan pertama UTM peroleh DBA menerusi APEL.Q
Menurutnya, BN bagaimanapun terbuka untuk mengadakan perbincangan sekiranya keadaan memerlukan pada masa hadapan.
“Apa yang kita telah lalui, khususnya untuk (PRN) Negeri Sembilan dan Melaka, merupakan tafahum siyasi, ertinya kesefahaman politik. Kita belum pernah merancang untuk ke arah yang lebih jauh lagi.
“Tetapi kalau tiba masanya dan keadaan memerlukan, kita akan duduk bersama-sama,” katanya, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut ditanya sama ada BN berhasrat memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membubarkan Parlimen dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan tersebut merupakan hak dan mandat Perdana Menteri.
“Kalau itu keadaan yang disebutkan juga oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka beliau mempunyai hak dan mandat untuk melakukannya (membubarkan Parlimen),” katanya.
Terdahulu, kerjasama BN-PN pada PRN Negeri Sembilan menyaksikan BN memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN memperoleh tujuh kerusi.
Pada PRN Melaka pula, BN meraih 21 kerusi sementara PN memenangi tiga kerusi, termasuk Bukit Katil selepas menewaskan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari.
Sumber: Utusan Online (Fitri Nizam)
