LATEST

Pasar dalam pembinaan bernilai RM500,000 ranap

Pasar dalam pembinaan bernilai RM500,000 ranap

am@hmetro.com.my

Baca juga: Pesawat elektrik China lengkapkan penerbangan pertama

Kota Marudu: Penantian peniaga untuk mula berniaga di pasar baharu di Goshen, di sini, hampa apabila struktur bumbung pasar berkenaan ranap ketika hujan lebat kira-kira jam 11 pagi tadi.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa berikutan pasar berkenaan masih belum beroperasi dan belum dibuka kepada orang awam.

Difahamkan, peniaga sudah menunggu hampir dua bulan bagi menantikan kerja pembinaan struktur pasar berbumbung itu disiapkan sebelum mereka dapat memulakan perniagaan.

Pasar yang menelan kos pembinaan hampir RM500,000 itu dilaporkan sudah mencapai tahap kemajuan antara 80 hingga 90 peratus dan dijadualkan mula beroperasi penghujung bulan ini.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Dr Maijol Mahap, melawat serta meninjau lokasi kejadian pada jam 5.30 petang tadi.

Beliau yang bersama kakitangan Majlis Daerah Kota Marudu dimaklumkan bahawa pasar berbumbung berkenaan dibina menggunakan peruntukan hampir RM500,000.

Katanya, pasar itu bakal menempatkan peniaga pelbagai jenis bahan makanan termasuk kuih-muih, ikan, ayam, sayur-sayuran, sayap panggang serta minuman dalam bekas air balang.

“Amat menyedihkan, bumbung pasar yang hampir siap tiba-tiba ranap. Kami akan meminta laporan daripada kontraktor untuk mengenal pasti punca dan penyebab kejadian sebelum mengambil tindakan memperbaiki kerosakan serta memastikan penambahbaikan yang meyakinkan,” katanya.

Sementara itu, peniaga sayur, Malinah Juakin, 42, berkata mereka menggunakan kanopi untuk meneruskan perniagaan di kawasan bersebelahan sementara menunggu kerja pembinaan pasar berkenaan disiapkan.

Katanya, peniaga terkilan sebaik mengetahui kejadian struktur bumbung itu ranap kerana terpaksa menunggu lebih lama lagi sebelum kerja pembaikan dapat dilaksanakan.

“Selain itu, kami juga perlu berdepan keadaan cuaca tidak menentu. Namun, kami semua tetap bersyukur kerana kejadian itu berlaku ketika kami belum mula beroperasi di bawah bumbung berkenaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news