
Hasrat mahu tampil berbeza dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) nampaknya tidak begitu menjadi apabila video muzik terbaharu Datuk Nora Ariffin, Samudera, mengundang pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan penonton.
Cik Bunga perhatikan, semakin menjadi-jadi pula fenomena penggunaan AI dalam dunia kreatif tanah air. Daripada iklan produk di TikTok sampailah ke video muzik penyanyi arus perdana, semuanya seperti mahu mencuba teknologi yang sedang menjadi trend ini.
Baca juga: Panik lihat sekatan jalan raya, seorang pemuda rempuh MPV polis
Tetapi, persoalannya, adakah semua benda perlu menggunakan AI? Terbaharu, video muzik lagu Samudera nyanyian Datuk Nora Ariffin menjadi perhatian apabila pendekatan visual berteraskan AI yang digunakan mengundang kritikan netizen.
Ada yang mempersoalkan mengapa industri muzik arus perdana sanggup mempertaruhkan hasil sebegitu sedangkan ramai penggiat muzik indie tempatan mampu menghasilkan video muzik yang lebih menarik dengan mengekalkan sentuhan manusia.
Malah, ada juga yang melihat lambakan penggunaan AI ini sebagai sesuatu yang membimbangkan sekiranya tidak dikawal. Bagi mereka, seni bukan sekadar menghasilkan visual yang kelihatan menarik, sebaliknya memerlukan kreativiti, jiwa, emosi dan sentuhan manusia yang menjadikan sesebuah karya itu bernilai.
Nampaknya bukan semua orang boleh menerima kehadiran AI dalam dunia seni! Cik Bunga faham, mungkin Nora mempunyai niat untuk bereksperimen dan cuba mewarnai industri seni tempatan dengan pendekatan yang lebih moden. Tidak salah pun mahu mencuba sesuatu yang baharu. Kita juga tidak boleh menafikan bahawa teknologi AI mempunyai potensi besar jika digunakan dengan cara yang betul.
Namun begitu, Cik Bunga merasakan hasil video muzik Samudera ini agak kurang memuaskan daripada segi kualiti persembahan visualnya.Entahlah, ada bahagian yang membuatkan Cik Bunga merasakan ia seperti dihasilkan sekadar mahu mencuba teknologi AI tanpa benar-benar memberikan perhatian kepada nilai estetika dan keseluruhan penceritaan. Macam kurang kemas pun ada.
Bukan soal Cik Bunga menolak kemajuan teknologi, tetapi apabila melibatkan karya seni, kualiti tetap perlu menjadi keutamaan. Apatah lagi Nora bukan nama kecil dalam industri muzik tanah air.
Tentulah peminat mengharapkan sesuatu yang lebih istimewa daripada seorang penyanyi berpengalaman sepertinya. Cik Bunga juga tertanya-tanya, mengapa perlu terlalu bergantung kepada AI sedangkan sentuhan kreatif manusia masih mempunyai keistimewaan tersendiri? Lihat sahaja karya-karya penggiat indie yang sering tampil dengan konsep video muzik menarik, kreatif dan mempunyai identiti tersendiri.
Tidak semestinya produksi besar atau teknologi canggih menjadi ukuran sesebuah karya itu bagus. Kadangkala idea yang sederhana tetapi dilaksanakan dengan penuh teliti jauh lebih meninggalkan kesan.
Jadi, Cik Bunga merasakan mungkin ada baiknya video muzik Samudera ini dinilai semula. Kalau perlu, reshoot sahaja dengan konsep yang lebih sesuai dan visual yang lebih meyakinkan.
Sayang juga lagu yang dinyanyikan Nora tidak mendapat sokongan sebuah video muzik yang benar-benar mampu mengangkat keistimewaannya.
Apa pun, Cik Bunga percaya setiap pengkarya berhak mencuba pendekatan baharu. Cuma janganlah kerana terlalu ghairah mengikut trend, aspek kualiti dan nilai seni pula menjadi perkara kedua.
AI mungkin boleh membantu menghasilkan sesuatu yang kelihatan luar biasa, tetapi jangan sampai karya seni kehilangan sentuhan manusia yang membuatkan penonton jatuh cinta kepadanya.
The post Guna AI, MV Samudera Nora Ariffin dikritik appeared first on Utusan Malaysia.