LATEST

Bukan satu tapi enam lokasi! KUSKOP perluas TikTok Shop LIVE Hub, sedia studio percuma bantu usahawan

Bukan satu tapi enam lokasi! KUSKOP perluas TikTok Shop LIVE Hub, sedia studio percuma bantu usahawan

Usahawan tempatan kini berpeluang menjalankan perniagaan secara siaran langsung (LIVE) tanpa perlu mengeluarkan modal besar menerusi pembukaan TikTok Shop LIVE Hub di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong merasmikan pusat berkenaan pada Ahad, sekali gus menjadikan Pulau Pinang lokasi keenam bagi inisiatif kerjasama antara TEKUN Nasional dan TikTok Shop Malaysia.

Baca juga: Panik lihat SJR, pemuda rempuh MPV polis

Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), usahawan boleh menempah studio secara percuma selama dua jam bagi setiap sesi bagi membantu meningkatkan jualan dalam talian.

“Ini membolehkan mereka menjalankan jualan secara LIVE tanpa perlu mengeluarkan modal yang besar untuk membina studio atau membeli peralatan sendiri,” menurut kenyataan itu.

Lebih menarik, studio berkenaan dilengkapi kemudahan kalis bunyi, internet berkelajuan tinggi, lebih 500 pilihan latar belakang digital serta pelbagai kesan khas.

Petugas teknikal turut disediakan bagi membantu usahawan, selain latihan penghasilan video pendek, pemasaran dalam talian dan teknik jualan LIVE.

Sebelum ini, tiga TikTok Shop LIVE Hub telah beroperasi di Penampang, Sabah; Kuala Lumpur; dan Johor Bahru, Johor.

Tiga lagi pusat dibuka tahun ini di Kota Bharu, Kelantan; Kuantan, Pahang; dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada enam lokasi di seluruh negara.

Kesemua pusat tersebut kini mempunyai 12 studio LIVE, tiga pusat latihan dan sebuah studio podcast.

Khusus di Pulau Pinang, pusat baharu itu menyediakan dua studio LIVE dan sebuah pusat latihan dengan sasaran memberi manfaat kepada lebih 10,000 usahawan.

Dalam perkembangan sama, kerjasama TEKUN Nasional dan TikTok Shop Malaysia berjaya mencatatkan jualan terkumpul melebihi RM45 juta melibatkan lebih 1,300 usahawan setakat September 2026.

May be an image of one or more people and dais

Steven berkata, penggunaan teknologi digital membolehkan peniaga kecil menjangkau lebih ramai pelanggan tanpa perlu membuka cawangan baharu atau menanggung kos operasi yang tinggi.

Beliau turut memaklumkan bahawa KUSKOP akan terus menggalakkan kerjasama antara agensi kerajaan dan pihak industri bagi membantu usahawan mendapatkan pembiayaan, meningkatkan kemahiran serta meluaskan pasaran.

TikTok Shop LIVE Hub Pulau Pinang beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, pukul 10 pagi hingga 6 petang.

Usahawan yang berminat boleh membuat tempahan studio atau mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web https://tiktokshoplivehub.com/ atau akaun TikTok @livehubmy.

Sumber: FB Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi

Latest news