LATEST

70,195 PATI ditahan tempoh 10 bulan

70,195 PATI ditahan tempoh 10 bulan

mhafis@mediaprima.com.my

Baca juga: Rosmadi perlukan sokongan semua pihak bangunkan KAFA

Kuala Lumpur: Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober lalu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan sebanyak 11,808 operasi penguatkuasaan, melibatkan pemeriksaan terhadap 155,498 individu dan tangkapan seramai 70,195 pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, JIM merekodkan pelbagai kejayaan operasi termasuklah menumpaskan sindiket penyeludupan migran, kegiatan penipuan dalam talian, pemalsuan dokumen dan pemerdagangan orang.

Menurutnya, penyalahgunaan pas pelajar serta pas lawatan sosial (PLS) selain wujud peranan individu tertentu yang menawarkan tempat tinggal antara helah warga asing berada dalam Malaysia secara haram.

“JIM sememangnya mengakui modus operandi warga asing yang masuk pada mulanya secara sah tetapi terus tinggal negara ini secara tidak sah.

“Pihak jabatan mengenal pasti pelbagai modus operandi warga asing yang berada di negara ini secara tidak sah hasil operasi penguatkuasaan di seluruh negara.

“Ada antara mereka masuk menggunakan pas pelancong, pas pelajar atau pas khas, tetapi menyalahgunakannya dan melakukan kesalahan imigresen,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, oleh kerana ini, JIM sentiasa meningkatkan penguatkuasaan terutama kawasan-kawasan hotspot yang menjadi tumpuan warga asing.

“Aktiviti penguatkuasaan ini berdasarkan risikan, pemantauan dan juga maklumat orang awam.

“JIM mempunyai data warga asing yang masuk secara sah tetapi tidak keluar sehingga tamat pas, namun, pihaknya tidak mempunyai maklumat lokasi keberadaan mereka,” katanya.

Katanya, kerana itu pihak jabatan mengharapkan orang ramai yang mempunyai maklumat untuk salurkan kepada JIM melalui saluran rasmi bagi tindakan siasatan dan penguatkuasaan yang bersasar berdasarkan lokasi hotspot tumpuan warga asing yang dikenal pasti.

“JIM akan terus memperkukuh risikan, operasi penguatkuasaan dan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain agar isu PATI ini dapat ditangani dengan tuntas bagi memastikan keselamatan penduduk tempatan terus terjamin,” katanya.

Pada Rabu lalu, Lans Koperal Thierry Rodger Fendy, 26, putus pergelangan tangan kanan selepas diserang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong.

Siasatan mendapati suspek lelaki berusia 32 tahun itu pernah memegang pas pelajar dari 2015 hingga 2018 selain pasport yang tamat tempoh sejak 2020.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news