LATEST

Kampung Melayu Subang, Puncak Alam antara tumpuan projek tebatan banjir

Kampung Melayu Subang, Puncak Alam antara tumpuan projek tebatan banjir

am@hmetro.com.my

Baca juga: PGA rampas 4,500 anak pokok durian, dua lelaki ditahan

Shah Alam: Kampung Melayu Subang, Kampung Kubu Gajah dan Puncak Alam dikenal pasti antara kawasan kritikal yang diberi perhatian untuk pelaksanaan projek tebatan banjir menerusi peruntukan RM36.45 juta bagi 47 projek di bawah Belanjawan Selangor 2027.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketiga-tiga kawasan berkenaan antara lokasi yang mengalami masalah banjir lebih serius, khususnya pada peringkat awal Monsun Timur Laut atau ketika peralihan monsun.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan meneliti semula lokasi pelaksanaan projek berkenaan berdasarkan keperluan semasa, selain memastikan usaha mengurangkan risiko banjir dilaksanakan secara berterusan.

“Kita akan tengok balik sebab ia adalah usaha berterusan dan sudah pasti dua tiga tempat utama adalah Kampung Melayu Subang, Kampung Kubu Gajah dan kawasan Puncak Alam.

“Ini tiga kawasan yang serius pada peringkat awal permulaan monsun atau peralihan monsun,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pendidikan Digital PIBKS Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Mohd Hanafi Samad dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kawasan Kuala Selangor turut berdepan masalah banjir, namun isu di beberapa lokasi seperti Parit Mahang lebih bersifat jangka panjang (banjir termenung) dan memerlukan perhatian khusus.

Katanya, kerajaan negeri akan berusaha melaksanakan projek berkaitan secepat mungkin, selain menilai keberkesanan langkah tebatan banjir di kawasan yang sebelum ini sering terjejas.

Beliau berkata, beberapa kawasan seperti Dengkil dan Kuala Langat menunjukkan keadaan lebih baik hasil usaha mitigasi yang dilaksanakan sebelum ini.

“Ini akan ditumpukan kepada 56 lokasi titik panas yang sudah dikenal pasti.

“Antara tahun 2016 hingga 2017, kita mempunyai hampir 200 titik panas banjir namun menerusi usaha yang dilaksanakan, jumlah itu semakin berkurangan dan beberapa kawasan berjaya ditangani,” katanya.

Amirudin berkata, perkembangan situasi banjir perlu terus dipantau dari semasa ke semasa memandangkan negara masih berada pada peringkat awal musim monsun.

Media pada Jumaat lalu melaporkan, Belanjawan Selangor 2027 menyediakan dana RM36.45 juta bagi 47 projek tebatan banjir di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Amirudin dilapor berkata, dana itu untuk membiayai 30 projek sambungan dan 17 projek baharu di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news