am@hmetro.com.my
Baca juga: PM Iraq pecat pegawai kanan terlibat kegiatan seludup minyak di kubu pro-Iran
Shah Alam: Orang Melayu kini berada di satu persimpangan politik yang amat kritikal dan genting apabila terpaksa memilih antara dua pilihan yang kedua-duanya mempunyai masalah tersendiri.
Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, peribahasa ditelan mati emak di luah mati bapak adalah cerminan paling tepat kepada keadaan politik hari ini.
Namun, katanya, dalam keadaan sekarang, tiada banyak masa untuk mempertimbangkan keputusan terbaik atau mencari penyelesaian alternatif yang lebih sesuai.
“Maka kita terpaksa membuat keputusan atas dasar pilihan manakah yang kurang memudaratkan.
“Satu pilihan dilihat akan meminggirkan agama, bangsa serta falsafah tanah air ini sebagai Tanah Melayu manakala satu lagi pula seolah-olah menghalalkan kemungkaran.
“Kita sudah dapat melihat pilihan mana yang lebih membawa kemudaratan.
“Bagi pilihan satu lagi, kita masih mempunyai harapan untuk membawa perubahan termasuk melawannya dari dalam atau menjadikannya sebagai perjuangan baharu selepas memastikan kelangsungan kewujudan kita sendiri.
“Bagaimanapun ini cuma pandangan saya (sahaja),” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung PEJUANG 2026 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.
Ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali berikutan keadaan suara Dr Mahathir yang agak lemah dan dibimbangi mengganggu penyampaian.
Turut hadir Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, walaupun PEJUANG adalah sebuah parti yang baru berbanding dan pencapaiannya tidak begitu menggalakkan dalam tempoh usia enam tahun kewujudannya, tetapi ia berhasil mencapai satu kebenaran.
“Satu lagi kebenaran ialah mereka yang terbabit memecat kita dari parti induk sehingga memaksa kita menubuhkan PEJUANG, hari ini ramai dalam kalangan mereka itu turut dipecat dan terpaksa tubuh parti lain.
“Kebenaran yang satu lagi mereka yang dahulunya tidak sabar mahu keluar dari kerajaan kerana alahan melampau terhadap komponen parti di dalam kerajaan ketika itu kelihatannya menjurus kembali kepada parti-parti berkenaan.
“Kitaran atau pusingan itu kelihatannya hampir lengkap,” katanya.
Dr Mahathir berkata, tujuan beliau membangkitkan perkara silam bukan untuk memburukkan sesiapa tetapi apa lebih penting baginya adalah harus terus belajar dari sejarah sama ada yang baru mahupun lama.
“Untuk PEJUANG, apakah yang dapat kita pelajari?. Perkara utama ialah di dalam politik tidak ada sahabat yang kekal. Yang kekal cuma matlamat.
“Kerana itu percaturan politik, pertukaran jajaran politik atau ‘political re-alignment’ bukan sesuatu yang luar biasa, yang pelik ialah apabila matlamat itu turut berubah.
“Kerana itu prinsip perjuangan parti amat penting kerana ia menawarkan kepada penyokongnya bahawa matlamat dikejar adalah di atas prinsip yang dinyatakan dengan jelas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd