LATEST

PRN Melaka: Kemenangan besar BN-PN isyarat perubahan landskap politik negara – Penganalisis

PRN Melaka: Kemenangan besar BN-PN isyarat perubahan landskap politik negara – Penganalisis

asmaini@mediaprima.com.my

Baca juga: PRN Sarawak: DAP Pusat serah keputusan kerusi, calon kepada negeri

Kuala Lumpur: Kejayaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menguasai 24 daripada 28 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semalam membuktikan keberkesanan formula kerjasama politik yang disokong penyelarasan jentera serta pemindahan undi di peringkat akar umbi.

Felo Penyelidik ILHAM Centre, Mujibu Abd Muis berkata, kemenangan besar itu bukan sekadar mencerminkan kekuatan BN sebagai parti yang menerajui kerajaan negeri, sebaliknya memperlihatkan keupayaan BN-PN membentuk blok pilihan raya yang lebih tersusun dalam menguruskan persaingan.

Beliau berkata, kesediaan penyokong BN memberikan undi kepada PN dan begitu juga sebaliknya menunjukkan kerjasama berkenaan bukan sekadar persefahaman di peringkat kepemimpinan, malah mula diterima sebahagian besar penyokong akar umbi.

Katanya, perkembangan itu membawa implikasi besar kepada politik nasional apabila parti politik perlu menilai semula strategi pembentukan gabungan serta kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Keputusan PRN Melaka memberikan satu gambaran penting mengenai perubahan landskap politik negara, khususnya berkaitan keberkesanan kerjasama politik antara parti yang sebelum ini berada dalam blok berbeza.

“Kerjasama yang disokong penyelarasan jentera dan pemindahan undi berkesan mampu menghasilkan kelebihan pilihan raya yang sangat besar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mujibu berkata, keputusan itu turut memberikan justifikasi politik kepada UMNO dan PAS bahawa kerjasama antara kedua-dua parti mempunyai potensi elektoral besar, khususnya di kawasan yang mempunyai komposisi pengundi Melayu signifikan.

Bagaimanapun, Mujibu mengingatkan kemenangan BN-PN di Melaka tidak boleh dijadikan ukuran mutlak gabungan itu mampu mengulangi pencapaian sama pada PRU akan datang berikutan pilihan raya negeri mempunyai dinamik tersendiri.

Katanya, faktor calon, isu tempatan, prestasi kerajaan negeri dan struktur pengundi perlu diambil kira sebelum sebarang unjuran dibuat terhadap kekuatan gabungan berkenaan di peringkat nasional.

“Walaupun kerjasama BN-PH masih menjadi asas pentadbiran Kerajaan Persekutuan, keputusan PRN Melaka menunjukkan penyatuan di peringkat kepemimpinan tidak semestinya diterjemahkan kepada penyatuan sokongan pengundi di peringkat negeri,” katanya.

Mengulas cabaran dihadapi Pakatan Harapan (PH), Mujibu berkata, keputusan itu menjadi amaran serius kepada gabungan berkenaan untuk menilai semula strategi politik mereka.

Katanya, ia khususnya dalam usaha membina sokongan merentas kaum dan memperkukuh penerimaan dalam kalangan pengundi Melayu.

Beliau menyifatkan kekalahan Pengerusi PH Melaka,Adly Zahari di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil sebagai antara perkembangan paling signifikan dalam PRN berkenaan.

“Kekalahan bekas Ketua Menteri itu menunjukkan kedudukan sebagai tokoh utama parti dan pengalaman menerajui kerajaan negeri tidak semestinya menjadi jaminan kemenangan apabila berdepan perubahan sentimen pengundi serta penyusunan semula kekuatan parti lawan.

“Namun, kejayaan PH mempertahankan empat kerusi bandar iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir menunjukkan gabungan itu masih mempunyai asas sokongan yang kukuh dalam kelompok pengundi serta kawasan tertentu,” katanya.

Sementara itu, Mujibu berkata, kegagalan BERSATU menterjemahkan identiti dan kekuatan politiknya secara bersendirian kepada kemenangan kerusi sebagai petunjuk bahawa pengaruh sesebuah parti tidak boleh dinilai hanya berdasarkan kedudukan kepemimpinan nasional atau kekuatannya dalam gabungan terdahulu.

“Secara keseluruhan, perkara paling penting dalam keputusan PRN Melaka ialah bukan sekadar PH kehilangan kerusi, tetapi bagaimana BN-PN berjaya membentuk satu blok pilihan raya yang lebih berkesan dari sudut penyelarasan jentera dan pengurusan undi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news