LATEST

Bergambar pra konvokesyen di puncak menara, keberanian Fatin Nabila curi tumpuan

Bergambar pra konvokesyen di puncak menara, keberanian Fatin Nabila curi tumpuan

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Baca juga: Polis tahan lelaki disyaki ulat parkir

Kuantan: Bagi mencipta memori dan meraikan kejayaan menamatkan pengajian di universiti, gadis ini mencabar diri serta mengetepikan rasa takut untuk bergambar di puncak Menara Kuantan 188, di sini.

Keberanian Fatin Nabila Kassim, 24, mendapat perhatian selepas tular videonya di atas puncak mercu tanda ikonik dan menara pemerhatian tertinggi di wilayah pantai timur Semenanjung berketinggian 188 meter itu.

Berkongsi kisah itu, Fatin Nabila yang berasal dari Muadzam Shah, Pahang berkata, dia menerima skrol tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pejabat sempena Istiadat Konvokesyen di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor, semalam.

Bagaimanapun Fatin Nabila yang menuntut di kampus UiTM Jengka, Pahang mengambil gambar pra konvokesyen di puncak Menara Kuantan 188 beberapa hari sebelum itu bagi mencari kelainan walaupun takut berada di aras tinggi.

“Sebenarnya saya bukan berani sangat dan memang gayat terutama ketika menaiki tangga dari ‘sky deck’ untuk ke puncak menara yang jaraknya 84 meter.

“Tapi saya lawan ketakutan kerana fikir jika tak buat waktu itu, bila lagi ada peluang sebegitu.

“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan, malah cuaca hari itu sangat baik dan tak sangka dapat sampai ke puncak serta habiskan masa 40 minit di situ,” katanya kepada Harian Metro. Menurut Fatin Nabila, keluarga terutama ibu, Sarbiah Harun, 58, tahu perancangannya bergambar kenangan di atas menara berkenaan.

“Emak ‘okay’ dan dia tak menghalang pun, malah semua ahli keluarga terdekat tahu.

“Semuanya dipermudahkan kerana sebelum ini, saya pernah menjalani latihan industri di Menara Kuantan 188 sebelum tamat pada Januari lalu kemudian diserap dalam bahagian pentadbiran operasi.

“Jadi urusan lancar dengan kebenaran pengurus besar saya kerana selain bergambar kenangan, saya nak bantu promosikan salah satu aktiviti menarik di menara berkenaan.

“Cuma selepas video berkenaan dimuat naik di TikTok, ada yang teruja, ada juga yang kata mereka gayat dan tak kurang juga mengecam kerana kata saya tak pakai alat keselamatan. Hakikatnya, saya pakai cuma tak nampak ketara dalam video,” katanya yang juga anak bongsu daripada empat beradik.

Meskipun begitu, Fatin Nabila tetap menyifatkan bergambar di puncak Menara Kuantan 188 sebagai kenangan berharga yang tidak akan dilupakannya.

“Bagi saya, sesi fotografi dan video di menara itu adalah simbolik kejayaan sampai ke puncak dan garisan penamat selepas mengharungi tiga tahun tempoh pengajian yang mencabar.

“Kalau diberi peluang, saya akan sambung belajar tetapi sekarang fokus dengan karier dahulu untuk cari pengalaman dan cabar diri keluar dari zon selesa.

“Semoga saya dapat kembangkan potensi dan pergi lebih jauh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news