LATEST

Pesawat Qingdao Airlines dilencongkan dari KLIA ke Terengganu

Pesawat Qingdao Airlines dilencongkan dari KLIA ke Terengganu

Kuala Nerus: Sebuah pesawat Qingdao Airlines yang membawa 207 individu termasuk penumpang dan kru terpaksa melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini semalam selepas gagal mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor akibat cuaca buruk.

Pesawat jenis Airbus A321neo dengan nombor penerbangan QW907 dari China itu dilaporkan selamat mendarat di LTSM kira-kira 5.30 petang.

Baca juga: Moriyasu yakin Jepun mampu takluk dunia

Difahamkan, pesawat berkenaan pada awalnya dirancang untuk dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAAP), namun penerbangan ke lokasi itu tidak dapat diteruskan berikutan kekangan bekalan bahan api.

Menurut sumber, kesemua penumpang kemudiannya dibawa ke Balai Berlepas Antarabangsa LTSM sementara urusan penerbangan seterusnya diselaraskan.

“Bekalan bahan api perlu dibawa masuk sama ada dari Kuantan, Pahang atau Kota Bharu, Kelantan sebelum pesawat dibenarkan meneruskan penerbangan.

“Urusan mendapatkan bekalan itu sedang diatur bagi membolehkan perjalanan penumpang diteruskan,” katanya.

Sementara menunggu penyelesaian urusan berkenaan, kesemua penumpang ditempatkan di tiga hotel sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Difahamkan, sebanyak lima perjalanan pengangkutan disediakan bagi membawa mereka ke lokasi penginapan masing-masing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news