LATEST

Rosmadi, Azman terajui kepimpinan KAFA

Rosmadi, Azman terajui kepimpinan KAFA

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bakal memulakan lembaran baharu menerusi penganjuran Kongres Luar Biasa pada 26 November ini selepas melalui tempoh pergolakan yang menyaksikan keahliannya dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) digantung.

Perkembangan itu menyaksikan lima calon bagi mengisi jawatan utama badan induk berkenaan bakal disahkan tanpa pertandingan selepas proses penyerahan borang pencalonan berakhir pada 5 November lalu dan tapisan calon selesai dijalankan.

Baca juga: Ancelotti bengang dengan pengadil selepas Brazil kecundang

Mereka ialah Datuk Seri Rosmadi Ismail bagi jawatan Presiden, Azman Ibrahim (Timbalan Presiden), manakala tiga kerusi Naib Presiden bakal diisi Amin Zubair Muhamad, Khabir Sufi Burhanuddin dan Mohd Shukry Pauzi.

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata, segala persiapan menjelang kongres berkenaan berjalan lancar bagi memastikan proses mengembalikan badan induk bola sepak Kelantan itu dapat dilaksanakan dengan baik.

“Buat ketika ini semuanya berjalan dengan lancar dan pastinya kita mengharapkan yang terbaik untuk menghidupkan semula bola sepak di Kelantan,” katanya.

Untuk rekod, FAM menerusi kenyataan rasmi pada 24 Disember 2024 memaklumkan keahlian KAFA sebagai ahli gabungan badan induk itu digantung berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan berkenaan dibuat selepas Jawatankuasa Eksekutif FAM secara majoriti menerima cadangan penggantungan menerusi keputusan bertulis, berdasarkan Artikel 17 Statut FAM.

Tindakan itu susulan keputusan Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM yang mendapati Kongres KAFA kali ke-65 serta pemilihan Jawatankuasa Eksekutif bagi sesi 2024-2028 tidak sah.

Bagi pemilihan kali ini, lapan ahli mempunyai hak mengundi iaitu Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Jeli, Machang, Pasir Puteh, Bachok serta Persatuan Bola Sepak India Kelantan. – UTUSAN

The post Rosmadi, Azman terajui kepimpinan KAFA appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news