LATEST
National

Ancelotti kritik pengadil selepas Brazil tewas kepada Jepun

Ancelotti kritik pengadil selepas Brazil tewas kepada Jepun

SINGAPURA: Ketua jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengadilan perlawanan selepas skuad kendaliannya tewas mengejut 2-3 kepada Jepun dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Singapura, malam tadi.

Baca juga: PERKESO salur lebih RM20 juta bayaran faedah LINDUNG 24 jam

Lebih mencuri tumpuan, pengendali berusia 67 tahun itu dilayangkan kad merah oleh pengadil, Jansen Foo Chuan Hui ketika perlawanan berlangsung dalam suasana tegang pada penghujung aksi.

Brazil yang dibarisi beberapa bintang utama termasuk Vinicius Junior gagal mempertahankan kelebihan selepas dua jaringan penyerang Real Madrid itu tidak cukup untuk menghalang kebangkitan Jepun yang melakar kemenangan menerusi gol lewat Sakamoto pada masa kecederaan.

Ancelotti menjelaskan, dia dilayangkan kad merah kerana pengadil mendakwa gagal mengawal bangku simpanan Brazil apabila beberapa pemain pasukan itu memasuki padang ketika berlaku bantahan terhadap keputusan pengadil.

“Dia memberikan kad merah kerana mendakwa saya gagal mengawal bangku simpanan dan semua pemain berada di atas padang. Itulah sebabnya,” katanya seperti dipetik media Brazil, Lance.

Jurulatih dari Itali itu turut mempersoalkan kemampuan pengadil mengendalikan perlawanan berprofil tinggi membabitkan dua pasukan berkelas dunia, meskipun mengakui Brazil mempamerkan beberapa perkembangan positif sepanjang aksi berkenaan.

“Keputusan ini mengecewakan kerana kami tidak suka kalah. Namun, kami perlu melihat perkara positif yang dilakukan, termasuk beberapa pemain yang membuat penampilan pertama dan menunjukkan kualiti mereka.

“Sepanjang 70 minit, pasukan bermain dengan baik. Keputusan ini jelas dipengaruhi sikap pengadil yang tidak meniup wisel,” katanya.

Bagaimanapun, Ancelotti mengakui pengadil itu mungkin tidak mempunyai pengalaman mencukupi untuk mengendalikan perlawanan berintensiti tinggi seperti pertembungan berkenaan.

“Ini bukan salahnya semata-mata. Perlawanan ini berada pada tahap tinggi dan saya fikir dia tidak mempunyai pengalaman untuk mengendalikan perlawanan seperti ini,” katanya.

Dalam masa sama, Ancelotti turut memuji kekuatan Jepun yang disifatkan sebagai pasukan tersusun, memiliki intensiti tinggi dan bijak menyekat ancaman serangan balas Brazil.

Katanya, Brazil berjaya bangkit selepas permulaan hambar dan mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan serta memburu kemenangan, namun gagal memanfaatkan kesempatan yang ada.

Kekalahan itu menjadi yang kedua buat Ancelotti dalam 21 perlawanan pertamanya bersama Brazil, dengan kedua-dua kekalahan berlaku dalam aksi persahabatan.

Brazil dijadual menentang Singapura di venue sama, Selasa ini, bagi meneruskan siri jelajah Asia Tenggara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news