AMSTERDAM: Masalah kecederaan terus membelenggu pemain tengah Belanda, Frenkie de Jong apabila dia disahkan terlepas aksi penentuan Kumpulan A2 Liga Negara-Negara menentang Jerman di Berlin, Isnin ini.
Baca juga: Kemenangan besar PN-BN di Melaka referendum rakyat mahu perubahan – Hamzah
Persatuan Bolasepak Belanda (KNVB) mengesahkan pemain Barcelona berusia 29 tahun itu tidak akan bersama skuad selepas mengalami masalah sakit belakang ketika beraksi menentang Greece, Jumaat lalu.
De Jong yang dilantik sebagai kapten menggantikan Virgil van Dijk yang mengalami kecederaan, hanya mampu beraksi selama 45 minit sebelum dikeluarkan pada waktu rehat ketika Belanda membelasah Greece 7-0 di Amsterdam.
Pemain tengah itu menjelaskan dia tidak mahu mengambil risiko yang tidak perlu susulan masalah kesakitan dialaminya.
Kecederaan berkenaan menyaksikan De Jong sekali lagi terpaksa melupakan tugasan antarabangsa selepas sebelum ini terlepas empat perlawanan pertama kempen Liga Negara-Negara pada September lalu.
Jurulatih Belanda, Xavi Hernandez tidak akan memanggil pemain gantian bagi mengisi kekosongan ditinggalkan De Jong, sekali gus menyaksikan skuad ke Berlin akan dibarisi 23 pemain.
Ketika ini, Belanda mendahului Kumpulan A2 dengan 11 mata, diikuti Greece dan Jerman yang masing-masing mengumpul lapan mata.
Dua pasukan teratas kumpulan akan mengesahkan tempat ke suku akhir yang dijadual berlangsung pada Mac depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd