LATEST

Anwar tiba di Manila, bawa misi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49

Anwar tiba di Manila, bawa misi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49

Manila: Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh hubungan serantau, merapatkan persefahaman dan memperluas kerjasama.

Baca juga: PRN Melaka: BN menang 21 kerusi, PH 4 dan PN 3 – Pengerusi SPR

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia demi keamanan, kestabilan serta kemakmuran bersama.

Beliau tiba di Manila, Filipina bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula esok sehingga 17 November ini.

Pesawat membawa beliau serta delegasi selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino jam 8 malam waktu tempatan.

Beliau yang diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disambut Setiausaha Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan (DILG) Filipina, Juanito Victor “Jonvic” C Remulla Jr.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Amran Mohamed Zin serta Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.

Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Esok, Perdana Menteri dijadual menyertai Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 yang merangkumi Sesi Pleno dan Sesi Pemukiman, selain tiga sesi libat urus bersama Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dan Belia ASEAN.

Beliau kemudiannya dijadualkan menyertai empat sidang kemuncak bersama rakan dialog, iaitu ASEAN-China Ke-29, ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-16, ASEAN-Australia Ke-6 dan ASEAN-Republik Korea Ke-27.

Selain pertemuan dua hala dengan beberapa rakan sejawat dari negara anggota ASEAN, turut menjadi tumpuan, Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) Ke-12.

Penyertaan Malaysia pada sidang kemuncak kali ini penting bagi memelihara kepentingan negara selain memperkukuh peranan aktif Malaysia dalam menentukan hala tuju masa depan ASEAN.

Pembabitan peringkat tertinggi itu turut membolehkan Malaysia menyumbang kepada perbincangan dan pembentukan dasar serantau merangkumi aspek politik dan keselamatan, ekonomi serta sosiobudaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news