LATEST
National

Filipina juara Eurovision Asia, Aina raih tempat keempat

Filipina juara Eurovision Asia, Aina raih tempat keempat

BANGKOK: Penyanyi Filipina, Carmelle, muncul juara edisi sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 selepas menewaskan 10 peserta lain dalam pertandingan yang berlangsung di One Bangkok Forum, di sini, malam tadi.

Baca juga: Keputusan PRN Melaka bukti rakyat yakin dengan penyatuan ummah – Abdul Hadi

Penyanyi berusia 19 tahun itu meraih 211 markah menerusi lagu Sobra-Sobra sekali gus mengetepikan pencabar lain dalam pertandingan berprestij berkenaan.

Tempat kedua menjadi milik duo dari Thailand, MANG x DAOU, yang mengumpul 170 markah, manakala penyanyi Vietnam, Tóc Tiên, menduduki tangga ketiga dengan 164 markah.

Wakil Malaysia, Aina Abdul, pula terpaksa berpuas hati di tempat keempat selepas meraih 152 markah menerusi persembahan lagu Bluest Sky.

Sistem pemarkahan pertandingan itu menggabungkan 50 peratus undian penonton dan 50 peratus lagi daripada juri profesional yang mewakili 11 negara peserta.

Sebagai juara edisi sulung itu, Carmelle bakal membawa pulang kemenangan ke Filipina, selain berpeluang mengikuti pertandingan Eurovision Song Contest 2027 yang dijadualkan berlangsung di Burgas, Bulgaria, tahun depan.

Dalam pertandingan yang berlangsung kira-kira dua jam setengah itu, setiap wakil negara mempersembahkan sebuah lagu pilihan masing-masing bagi mengetengahkan keunikan muzik dan identiti negara.

Selain Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam, pertandingan itu turut disertai wakil Kemboja, Monetrey menerusi lagu I Let You Go; Thinla (Laos) dengan BAE; Beck (Mongolia) menerusi Chamguigeer (Without You); serta Nyendra (Bhutan) dengan Lhayi Semo.

Turut mengambil bahagian ialah Beatmosphere (Bangladesh) menerusi Tumi Ele; JUNHEE (Korea Selatan) dengan DEEP DIVE; dan Pratik Himal Rai (Nepal) menerusi Ananta Maya.

Aina dipilih mewakili Malaysia ketika Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-40 pada 15 Ogos lalu, sekali gus membuka peluang buat penyanyi itu membawa karya tempatan ke pentas antarabangsa.

Lagu Bluest Sky yang ditulis bersama komposer, Mac Chew, dilancarkan pada Oktober lalu sebagai taruhan Malaysia dalam pertandingan berkenaan.

Eurovision Song Contest Asia yang diperkenalkan buat julung kali adalah kesinambungan pertandingan muzik antarabangsa Eurovision Song Contest yang sudah berlangsung sejak 70 tahun lalu.

Penganjuran edisi Asia itu menghimpunkan penyiar dari 11 negara dengan mengetengahkan kepelbagaian muzik, bahasa dan identiti budaya rantau ini.

Pertandingan itu diterbitkan Voxovation bersama syarikat produksi berpangkalan di Bangkok, S20 Productions, manakala Thailand dipilih sebagai tuan rumah edisi sulung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news