AYER KEROH: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhan memenangi 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, BN memenangi 21 kerusi, PN tiga kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh empat kerusi.
Baca juga: PRN Melaka: Terima kekalahan dengan hati terbuka, ruang muhasabah – Mat Sabu
“Sehingga pukul 11.15 malam, berikut adalah keputusan penuh PRN Melaka Ke-16 yang telah dijalankan dengan bebas, adil dan telus.
“BN21 kerusi, PH empat kerusi dan PN tiga kerusi,” katanya dalam sidang akhbar di Ayer Keroh di sini hari ini.
Ramlan berkata, seramai 493,573 pengundi atau 71.77 peratus telah menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya berkenaan.
Katanya, jumlah tersebut merangkumi pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos.
Beliau merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, pasukan keselamatan, petugas pilihan raya, pihak media dan sukarelawan atas kerjasama sepanjang proses pilihan raya berlangsung.
Gabungan BN-PN menang di Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Asahan dan Sungai Udang.
Turut dimenangi Pantai Kundor, Paya Rumput, Kelebang, Pengkalan Batu, Bukit Katil, Ayer Molek, Duyong, Telok Mas, Bemban, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.
PH pula memenangi empat kerusi iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir. – UTUSAN
The post SPR sahkan BN, PN menang 24 kerusi, PH empat appeared first on Utusan Malaysia.