LATEST

PRN Melaka: Kemenangan besar PN-BN di Melaka, referendum rakyat mahu perubahan – Hamzah

PRN Melaka: Kemenangan besar PN-BN di Melaka, referendum rakyat mahu perubahan – Hamzah

am@hmetro.com.my

Baca juga: PRN Melaka: SPR umum BN-PN menang 24 kerusi, PH 4 DUN

Kuala Lumpur: Kemenangan besar gabungan Perikatan Nasional-Barisan Nasional (PN-BN) meraih 24 daripada 28 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, disifatkan sebagai referendum rakyat yang mahukan perubahan kepimpinan serta hala tuju negara.

Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata keputusan itu membuktikan ‘Gelombang Biru’ terus membadai dan membawa mesej politik cukup jelas penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) dan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kekalahan PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) di semua kerusi ditandingi bukan kebetulan politik, sebaliknya mencerminkan pola penolakan pengundi yang semakin nyata.

“Hakikatnya, PH bukan kerajaan pilihan rakyat. Gelombang penolakan ini bermula di Johor, diteruskan di Negeri Sembilan dan kini diterjemahkan pula di Melaka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, apa yang lebih penting, keputusan PRN Melaka membuktikan WAWASAN selaku parti nasional berwajah Malaysia, semakin kukuh dan kian mendapat kepercayaan rakyat.

“WAWASAN bukan sahaja berjaya mempertahankan DUN Bemban tetapi menang dengan majoriti lebih besar, manakala di DUN Kesidang yang menjadi kubu kuat DAP, WAWASAN tampil memberi saingan hebat.

“Kejayaan ini membuktikan politik inklusif berteraskan nilai dan agenda nasional mempunyai tempat dalam hati rakyat, yang mana WAWASAN juga menang besar di DUN Gemas dan merampas DUN Klawang serta Sikamat dalam PRN Negeri Sembilan baru-baru ini.

“Perjuangan ini tidak terhenti di Melaka. Gelombang Biru akan diperkuatkan, Konsensus Nasional Baharu terus diperjuangkan dan dengan dukungan rakyat, langkah seterusnya ialah membawa perubahan ke Putrajaya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news