LATEST

Penyanyi Filipina, Carmelle juara Eurovison Asia, Aina Abdul keempat

Penyanyi Filipina, Carmelle juara Eurovison Asia, Aina Abdul keempat

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Baca juga: Anwar ucap tahniah kepada BN atas mandat rakyat Melaka

Kuala Lumpur: Penyanyi dari Filipina, Carmelle dinobatkan sebagai juara pertandingan nyanyian berprestij, Eurovision Asia 2026 yang berlangsung penuh gilang-gemilang, malam tadi di One Bangkok Forum, Bangkok, Thailand.

Menerusi persembahan memukau lagu Sobra-Sobra, Carmelle berjaya menambat hati barisan juri dan penonton sekali gus mengumpul markah keseluruhan tertinggi sebanyak 211 mata.

Kemenangan itu turut melayakkan Carmelle membawa cabaran benua Asia untuk berentap di pentas antarabangsa Eurovision Contest 2027 yang bakal berlangsung di Bulgaria, tahun depan.

Sementara itu, naib juara menjadi milik wakil Thailand, gandingan Mang x Daou menerusi lagu Aroma selepas meraih 170 mata, manakala tempat ketiga disandang penyanyi Vietnam, Tóc Tiên yang mempertaruhkan lagu Em Tien dengan 164 mata.

Aina Abdul yang sebelum ini dipilih membawa nama Malaysia selepas cemerlang di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), mempamerkan persembahan bertenaga menerusi lagu Bluest Sky untuk menamatkan saingan di tempat keempat dengan kutipan 152 mata keseluruhan.

Aina meraih 82 mata daripada undian juri profesional selepas mendapat markah maksimum 12 mata masing-masing daripada juri Filipina dan Mongolia, selain 10 mata daripada juri Korea Selatan, Laos dan Thailand serta lapan mata daripada juri Kemboja, manakala baki 70 mata pula diperoleh menerusi undian penonton.

Pentas akhir Eurovision Asia 2026 edisi kali ini menyaksikan persaingan sengit daripada 11 negara bertanding termasuk Monetrey dari Kemboja (I Let You Go), Thinla dari Laos (Bae), Beck dari Mongolia (Chamguigeer (Without You)), Nyendra dari Bhutan (Lhayi Semo), Beatmosphere dari Bangladesh (Tumi Ele), Junhee dari Korea Selatan (Deep Dive) dan Pratik Himal Rai dari Nepal (Ananta Maya).

Kemuncak malam penuh bersejarah itu turut diserikan dengan persembahan istimewa juara Eurovision 2026, Dara yang menyampaikan lagu kemenangannya, Bangaranga dan single baharu, Bad Idea.

Turut menggamatkan suasana ialah kemunculan penyanyi popular Thailand, Jeff Satur yang menghiburkan penonton menerusi dua lagu hitnya berjudul Black Tie dan Grief Eaters.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news