LATEST

Operasi perkhidmatan kesihatan, rawatan pesakit tidak terjejas insiden keselamatan siber – KKM

Operasi perkhidmatan kesihatan, rawatan pesakit tidak terjejas insiden keselamatan siber – KKM

esaabuyamin@bh.com.my

Baca juga: [KIRAAN SEMASA] PRN Melaka: Adly tewas di Bukit Katil, PH kehilangan satu kerusi

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan semua sistem operasi utama dan perkhidmatan kesihatan serta rawatan pesakit tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa susulan insiden keselamatan siber yang dikesan, kelmarin.

Sehubungan itu, orang ramai boleh meneruskan janji temu kesihatan dan mendapatkan rawatan di semua fasiliti kesihatan kementerian berkenaan tanpa sebarang kerisauan.

KKM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, siasatan awal oleh Pasukan Tindak Balas Insiden Keselamatan Komputer (CSIRT) kementerian mendapati insiden berkenaan tidak membabitkan penyulitan sistem terhadap pangkalan data utama KKM.

Sebaliknya, insiden itu hanya terhad kepada akses tanpa kebenaran ke atas satu platform storan dan perkongsian fail sokongan di sebuah fasiliti kesihatan kementerian.

“Sebagai langkah membendung serta-merta, capaian awam terhadap platform berkenaan sudah disekat.

“KKM turut menguatkuasakan kawalan keselamatan tambahan di fasiliti terbabit yang merangkumi penetapan semula kata laluan pengguna, pengauditan pelayan serta penguatkuasaan Pengesahan Pelbagai Faktor (MFA),” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, KKM akan terus bekerjasama rapat dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) selaras dengan keperluan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) bagi menangani insiden terbabit, selain melaksanakan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan siber sentiasa terpelihara.

“Orang ramai dinasihatkan agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi.

“KKM memberi amaran tegas bahawa memuat turun, memiliki atau menyebarkan dokumen rasmi kerajaan yang diperoleh secara tidak sah adalah satu kesalahan serius yang tertakluk kepada tindakan undang-undang,” katanya.

Katanya, KKM kekal komited memastikan keselamatan infrastruktur teknologi maklumat dan kerahsiaan data kesihatan rakyat sentiasa terpelihara pada tahap tertinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news