Chennai: Polis masih memburu seorang lelaki bertopeng yang melarikan 10.5 kilogram (kg) emas dan satu kilogram barang kemas berlian dari bilik pameran Tanishq yang baru dibuka di Madurai, Tamil Nadu dengan identiti suspek masih belum dikenal pasti dan siasatan belum menunjukkan perkembangan ketara.
Baca juga: Pemain industri gesa Malaysia perketat pemantauan eksport seperti Indonesia
Kejadian kecurian itu berlaku pada malam Rabu dan hanya disedari pada pagi Khamis apabila pekerja tiba di bilik pameran berkenaan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diteliti polis dipercayai menunjukkan seorang lelaki menutup wajahnya ketika meninggalkan premis sebelum melarikan diri menaiki kenderaan dua roda, lapor NDTV.
Polis mengesahkan kegiatan itu dilakukan seorang individu secara bersendirian.
Pesuruhjaya Polis Bandaraya Madurai, S Rajendran memberitahu NDTV bahawa pihaknya sedang menganalisis rakaman CCTV dari bilik pameran berkenaan dan kawasan sekitarnya bagi mengenal pasti suspek.
“Kami sedang menganalisis semua rakaman CCTV untuk mendapatkan petunjuk bagi mengenal pasti individu berkenaan. Lelaki itu kelihatan bertopeng, namun setakat ini, kami belum dapat mengesahkannya,” katanya.
Fokus siasatan kini tertumpu kepada bagaimana penceroboh terbabit berjaya memasuki premis berkenaan dan melakukan kecurian tanpa disedari.
Bilik pameran yang baru dibuka pada 14 Oktober lalu itu mempunyai seorang pengawal keselamatan yang ditempatkan di bahagian hadapan. Bagaimanapun, pencuri dipercayai memanjat perancah di bahagian belakang bangunan sebelum memasuki premis melalui lubang pengudaraan yang ditutup sementara tetapi tidak ditutup rapat.
Ketika kejadian, kerja pembinaan dan kemasan termasuk pemasangan paip, jubin dan lif masih dijalankan di premis berkenaan.
Satu lagi kelemahan keselamatan dikenal pasti apabila bilik pameran itu tidak mempunyai peti keselamatan untuk menyimpan barang kemas pada waktu malam, sekali gus menyebabkan perhiasan emas dan berlian itu dibiarkan di atas rak pameran selepas waktu operasi perniagaan.
Selain meneliti rakaman CCTV, polis kini mengumpul data menara telekomunikasi bagi mengenal pasti panggilan telefon bimbit yang dibuat atau diterima di kawasan berhampiran sekitar waktu kejadian.
Langkah itu bertujuan mengecilkan senarai suspek dan menentukan sama ada terdapat individu lain yang terbabit.
Penyiasat turut mengesan petunjuk berhubung kenderaan dua roda yang digunakan suspek selain menyemak rekod pesalah lampau yang pernah terbabit dalam kes kecurian dan rompakan sama.
Rajendran berkata, pihaknya sedang meneliti individu yang disyaki dan menyingkirkan mereka daripada senarai siasatan satu demi satu.
© New Straits Times Press (M) Bhd