LATEST
National

Liga Juara-Juara Selangor makin berkualiti

Liga Juara-Juara Selangor makin berkualiti

KUALA LUMPUR: Penganjuran Liga Juara-Juara Selangor (SCL) sejak tahun 2016 memperlihatkan perkembangan positif apabila kualiti persaingan semakin meningkat dengan kehadiran ramai pemain profesional, termasuk bekas pemain kebangsaan.

Baca juga: Ismail Lasim Tarik Balik Surat, Nyatakan Sokongan Kepada Tuanku Muhriz

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAS, Datuk Dr PS Sugumaran berkata, penyertaan kelompok pemain berpengalaman itu memberikan nilai tambah kepada SCL apabila tahap permainan semakin berkualiti, kompetitif dan sengit.

Menurutnya, kehadiran pemain yang mempunyai pengalaman beraksi di peringkat profesional turut meningkatkan standard pertandingan, sekali gus menjadikan SCL bukan sekadar medan persaingan pasukan amatur.

Beliau berkata, perkembangan itu juga memberikan peluang kepada pemain muda untuk merasai sendiri intensiti pertandingan yang lebih tinggi apabila berdepan pemain berpengalaman dalam suasana kompetitif.

“Situasi itu secara tidak langsung membantu pemain muda menimba pengalaman, meningkatkan kematangan permainan serta menguji kemampuan mereka dalam persekitaran bola sepak yang lebih mencabar,” kata Sugumaran kepada Arena Metro ketika ditemui pada Majlis Pelancaran dan Undian FAS Liga Juara-Juara Selangor 2026 di Klang, malam tadi.

SCL 2026 yang memasuki edisi ke-10 tahun ini membabitkan penyertaan 16 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan dengan lapan pasukan bagi setiap kumpulan.

Kumpulan A terdiri daripada UiTM United, Tebuan FC, PLUS FC, Smart-Focus Park City FC, KRU FC, Royal Klang Sailor FC, Ampang Twenty Four FC dan Gombak FA.

Manakala Kumpulan B pula menampilkan MBSA FC, MPKJ FC, MBSJ FC, KDEB FC, Klasiko FC, MBDK FC, CS Empire FC dan NPNG FC.

Saingan yang bermula bulan ini dijadualkan berlangsung sehingga Januari tahun depan, sekali gus menjanjikan persaingan menarik antara pasukan yang membawa kekuatan serta latar belakang pemain berbeza.

Untuk rekod, SCL diperkenalkan pada tahun 2016 menerusi inisiatif Selangor Youth Community (SAY), hasil cetusan idea Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor merangkap Presiden FAS.

“Sepanjang sedekad penganjurannya, kejohanan itu berkembang menjadi antara platform yang dinantikan komuniti bola sepak amatur di Selangor, khususnya dalam menyediakan ruang persaingan kepada pasukan tempatan dan menghubungkan komuniti bola sepak dari seluruh negeri.

“SCL 2026 terus membawa aspirasi memperkukuh pembangunan bola sepak akar umbi, selain membuka lebih banyak peluang kepada pemain amatur dan bakat muda untuk mengembangkan potensi menerusi pertandingan yang semakin kompetitif,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news