JELEBU: Selepas hampir tiga minggu menanti, seekor harimau kumbang jantan dewasa seberat kira-kira 27 kilogram berjaya ditangkap di Kampung Purun di sini.
Baca juga: PRN Melaka: 48.13 peratus keluar mengundi setakat 1 tengah hari
Harimau itu ditangkap selepas memasuki perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan jam 7 pagi tadi.
Pengarah PERHILITAN Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun, berkata pihaknya sebelum itu menerima aduan berhubung kehadiran haiwan liar berkenaan di kawasan dusun durian pada 8 Julai lalu.
Katanya, pengadu sebelum itu membuat aduan berikutan ayam diternak di kebun durian itu dipercayai dimakan oleh harimau kumbang berkenaan.
“PERHILITAN kemudian mengambil tindakan memasang perangkap pada 27 Oktober lalu bagi menangkap haiwan berkenaan.
“Harimau kumbang jantan dewasa itu dianggarkan berusia tiga hingga empat tahun,”
katanya ketika dihubungi.
Wan Mat berkata, pemeriksaan pegawai veterinar mendapati haiwan berkenaan sihat dan tiada kecederaan serius pada badannya.
Harimau itu akan dilepaskan semula ke kawasan perlindungan di bawah seliaan PERHILITAN.
Wan Mat berkata, perangkap sedia ada masih lagi dikekalkan aktif.
© New Straits Times Press (M) Bhd