Syazwan Msar
Baca juga: Kepelbagaian mampu jadi jambatan persaudaraan, bukannya garis pemisah -Aaron
mohdsyazwan@hmetro.com.my
Foto Hairul Anuar Abd Rahim
Serdang: Hadir bukan sekadar mahu melengkapkan saingan, sebaliknya pasukan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) membawa impian besar untuk melangkah ke pentas final Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 Zon Tengah-Selatan di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Meskipun tidak memiliki nama gah seperti akademi atau sekolah sukan lain, pasukan dari Pasir Gudang, Johor itu tetap hadir dengan semangat tinggi bagi membuktikan kemampuan barisan pemain yang dibentuk menerusi usaha pembangunan akar umbi.
Dibimbing jurulatih, Mohd Taufik Zainal, pasukan berkenaan ditubuhkan lebih lima tahun lalu dengan misi melahirkan pelapis sepak takraw yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Menurut Taufik, barisan pemain yang dibawa ke kejohanan itu terdiri daripada anak-anak sekitar Pasir Gudang yang kebanyakannya sudah menjalani latihan sejak kecil, sekali gus memberikan asas penting untuk mereka terus berkembang dalam sukan berkenaan.
“Barisan pemain yang diambil adalah daripada sekitar Pasir Gudang dan rata-ratanya sudah dilatih sejak kecil lagi. Majlis Bandaraya Pasir Gudang turut menyediakan dewan latihan termasuk jurulatih bagi membimbing pemain pelapis ini.
“Walaupun tidaklah gah seperti akademi atau sekolah sukan lain, pasukan MBPG sememangnya komited melahirkan pemain pelapis sepak takraw yang mampu beraksi untuk negara pada masa akan datang,” katanya.
Menurutnya, sokongan kemudahan latihan yang disediakan MBPG di Dewan Taman Sri Cendana, Pasir Gudang menjadi antara asas penting dalam memastikan pemain mempunyai tempat untuk menjalani latihan secara berterusan.
Pasukan itu kini mempunyai kira-kira 15 pemain yang menjadi sebahagian daripada usaha pembangunan bakat sepak takraw di kawasan berkenaan, dengan kejohanan di UPM menjadi antara pentas terbesar pernah disertai mereka.
Taufik menyifatkan penyertaan dalam kejohanan berkenaan sebagai peluang cukup bermakna buat pemain muda untuk mendapatkan pendedahan, menguji kemampuan serta membina keyakinan apabila berdepan lawan dari pelbagai pasukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd