sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Bekas YDP MDSB meninggal dunia di Makkah
Kuala Lumpur: Peralihan pendekatan kejurulatihan susulan pemergian Nova Widianto menuntut masa untuk beregu campuran negara kembali menemui rentak prestasi terbaik, sekali gus membentuk keserasian dengan corak latihan baharu.
Ketua Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky berkata, pemain perlu menyesuaikan diri dengan pendekatan berbeza yang diperkenalkan barisan kejurulatihan baharu diketuai Teo Kok Siang dan Pang Cheh Chang selepas berlaku perubahan dalam struktur kejurulatihan.
Menurutnya, proses itu memerlukan masa sebelum prestasi pemain dapat dinilai secara menyeluruh, selain beberapa perkara membabitkan gandingan pemain perlu diperhalusi bersama barisan kejurulatihan.
“Kita perlu memberikan masa kepada pemain untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu jurulatih. Dalam masa sama, kita juga perlu mengambil kira pemergian Nova serta perubahan pendekatan kejurulatihan.
“Kita juga tidak tahu bagaimana keserasian pasangan seperti Chan Wen Tse bersama Chen Tang Jie dan Tang Jie Selepas beberapa kejohanan, kita sudah nampak ada perkara yang perlu dibincangkan bersama mereka,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Rexy berharap kepulangan Toh Ee Wei ke gelanggang latihan Akademi Badminton Malaysia pada 20 November ini dapat memperkukuhkan semula perancangan beregu campuran negara selepas pemain itu menjalani rawatan dan pemulihan kecederaan tangan kanan di Australia.
Tambahnya, keadaan Ee Wei perlu dinilai terlebih dahulu sebelum tempoh sesuai untuk pemain itu kembali menjalani latihan dan menyertai pertandingan dapat ditentukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd