am@hmetro.com.my
Baca juga: PRN Melaka: 48.13 peratus keluar mengundi setakat 1 tengah hari
Melaka: Bagi pasangan pengantin baharu, Nur Farah Ain Mustamam dan Aidil Aimin Othman, kedua-duanya berusia 27 tahun, hari perkahwinan mereka hadir dengan satu lagi tanggungjawab tambahan, iaitu membuang undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Dengan berbusana pengantin, pasangan itu mencuri tumpuan apabila tiba di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Datuk Palembang di sini, yang juga pusat mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, hari ini.
Pasangan berkenaan selamat diijabkabulkan pada 9 pagi, hanya beberapa jam sebelum bergerak ke pusat mengundi, sekali gus menjadikan hari istimewa mereka lebih bermakna.
Aidil Aimin, yang berasal dari Paya Ikan berkata, majlis akad nikah mereka pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 10.30 pagi, namun diawalkan bagi memastikan mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk mengundi.
“Agak kelam-kabut sedikit,” katanya ketika ditanya mengenai pengalaman menguruskan majlis perkahwinan serta tanggungjawabnya sebagai pengundi.
Bagi Nur Farah, yang berasal dari Kampung Ku Sayang di Bukit Baru, situasi luar biasa itu menjadikan hari perkahwinan mereka, jauh lebih istimewa.
“Saya gembira kerana kami dapat keluar mengundi dengan memakai baju pengantin. Orang lain semua berpakaian biasa, tetapi kami pula tampil dengan persalinan pengantin,” katanya sambil ketawa.
Dia mengakui berasa sedikit segan dengan perhatian yang diterima, terutamanya daripada pengundi lain yang terkejut melihat kehadiran pasangan pengantin di pusat mengundi berkenaan.
Pasangan itu merancang majlis perkahwinan mereka setahun lebih awal, jauh sebelum tarikh pengundian diumumkan.
Nur Farah berkata, mereka pada mulanya menjangkakan pilihan raya negeri itu akan diadakan pada awal Oktober dan agak terkejut apabila 14 November diumumkan sebagai hari mengundi.
“Kami sudah membuat semua tempahan, termasuk pelamin, jadi kami mengambil keputusan untuk meneruskan juga majlis pada tarikh asal,” katanya.
Meskipun berdepan jadual yang padat, pasangan itu nekad untuk tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab.
Selepas menemani suaminya di SK Jalan Datuk Palembang di sini, Nur Farah berkata, mereka akan bergerak ke satu lagi pusat mengundi di Bukit Baru bagi membolehkannya pula mengundi.
Kedua-duanya memaklumkan ini adalah kali ketiga mereka mengundi.
Ketika ditanya mengenai harapan mereka terhadap masa depan Melaka, pasangan pengantin baharu itu menyuarakan harapan yang ringkas – supaya kerajaan negeri yang bakal dibentuk kelak mentadbir dengan penuh tanggungjawab dan menunaikan janji-janji pilihan raya.
“Kami berharap sesiapa sahaja yang membentuk kerajaan negeri selepas ini akan mentadbir Melaka dengan baik dan menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat,” kata Nur Farah.
© New Straits Times Press (M) Bhd