LATEST

Lowry mampu perkuat benteng Harimau Malaya

Lowry mampu perkuat benteng Harimau Malaya

zulfaizan@mediaprima.com.my

Baca juga: Bahasa Melayu mekar di Guangzhou

Kuala Lumpur: Selepas muncul pasukan paling kebal dalam saingan Piala ASEAN Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini, Harimau Malaya kini boleh membina ‘tembok’ pertahanan lebih ampuh selepas ini.

Ia susulan perkembangan terbaharu yang menyaksikan pemain naturalisasi, Shane Lowry sudah mendapat lampu hijau daripada FIFA dan boleh mewakili skuad kebangsaan Malaysia bermula kelmarin.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menyifatkan kehadiran pemain berpengalaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menambah kekuatan dan memberi lebih banyak pilihan buat jurulatih dalam membentuk benteng Harimau Malaya.

Jamal yang pernah beraksi di posisi pertahanan berkata, kekuatan pasukan tidak seharusnya hanya dinilai berdasarkan kemampuan menghasilkan jaringan, sebaliknya perlu mempunyai keseimbangan antara benteng, tengah dan serangan.

“Setiap pemain yang kita rasa berkelayakan dan boleh menyumbang kepada pasukan Harimau Malaya, kita patut sokong. Tidak kiralah di posisi pertahanan, tengah atau penyerang kerana mereka boleh menjadi nilai tambah kepada pasukan.

“Asalkan pemain itu boleh membantu dan memberikan sumbangan sebenar kepada Harimau Malaya, saya fikir tiada masalah. Kita mahukan pertahanan kuat dan jangan kita hanya fikir orang yang boleh menjaringkan gol sahaja.

“Kalau kita dapat banyak gol, tapi jika pertahanan tidak kuat dan bolos banyak, tidak guna juga. Kita kena ada keseimbangan di semua posisi dan itu yang akan membuatkan pasukan kita kuat.

“Jangan menganggap bahagian pertahanan ini sebagai tidak berapa penting. Semua posisi penting kerana bahagian pertahanan yang akan memastikan pasukan tidak boleh atau mengelak dari kekalahan,” katanya.

Lowry terlepas peluang untuk membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya di pentas Piala ASEAN FIFA di Indonesia pada September dan Oktober lalu kerana belum mendapat ‘lesen’ daripada FIFA untuk mewakili Malaysia.

Benteng Harimau Malaya yang mendapat suntikan pemain warisan baharu, Brad Tapp dan bergandingan bersama pemain lain termasuk Dion Cools, Quentin Cheng serta La’Vere Corbin-Ong melakar rekod cemerlang apabila muncul satu-satunya pasukan yang tidak bolos dalam empat perlawanan sepanjang kejohanan itu.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang turut diperkuat dengan penampilan sulung dua lagi pemain naturalisasi dari JDT, Bergson Da Silva dan Manuel Hidalgo memulakan kempen dengan menewaskan Bangladesh 3-0.

Benteng pertahanan negara terus kebal dalam tiga aksi selepas itu apabila terikat tanpa jaringan berdepan tuan rumah Indonesia, diikuti kemenangan besar 6-0 ke atas Singapura dan menundukkan Vietnam 1-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news