KUALA LUMPUR: Pintu untuk menyertai skuad Harimau Malaya tidak pernah tertutup buat mana-mana pemain, sebaliknya ia sentiasa terbuka kepada semua yang layak termasuk berstatus warisan dan naturalisasi.
Baca juga: PRN Melaka: Pengundi Ayer Molek disaran keluar awal mengundi, elak hujan di sebelah petang
Ketua jurulatih interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak melihat isu kontroversi membabitkan tujuh pemain sebelum ini menjadi halangan untuk Harimau Malaya mendapatkan khidmat pemain warisan dan naturalisasi baharu.
Beliau menegaskan, keutamaan ketika ini adalah membentuk pasukan yang kompetitif dengan membuka ruang kepada pemain terbaik, selain memastikan bakat tempatan tidak terpinggir dalam perancangan masa depan skuad kebangsaan.
Katanya, setiap pemain yang layak mewakili Malaysia perlu dilihat berdasarkan kemampuan mereka untuk memberikan sumbangan atau impak positif kepada pasukan Harimau Malaya.
“Sebagai jurulatih, saya tidak mahu mengulas mengenai isu-isu yang berlaku sebelum ini. Saya hanya mahu memberikan tumpuan kepada pasukan kebangsaan yang baharu.
“Kami mengalu-alukan mana-mana pemain yang boleh mewakili negara. Paling penting, kami juga mengharapkan pemain tempatan dapat memberikan impak positif untuk masa depan pasukan bola sepak Malaysia,” katanya.
Cheng Hoe berkata demikian ketika menjawab soalan daripada media China, semalam sama ada Malaysia akan terus memberikan memberi fokus untuk mendapatkan pemain naturalisasi pada masa akan datang walaupun selepas terpalit isu membabitkan tujuh pemain ‘warisan’ sebelum ini.
Pasukan kebangsaan Malaysia sebelum ini pernah terpalit dengan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Semua pemain terbabit dikenakan denda dan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dengan hukuman berkenaan berakhir, bulan lalu yang menyaksikan mereka sudah kembali beraksi bersama kelab masing-masing.
Kontroversi itu bagaimanapun tidak menjadi halangan Harimau Malaya merekrut pemain naturalisasi dan warisan baharu yang mana Bergson Da Silva, Manuel Hidalgo dan Brad Tapp membuat penampilan sulung bersama skuad negara ketika Piala ASEAN FIFA di Indonesia pada September dan Oktober lalu.
Malah, Harimau Malaya juga boleh menggunakan pemain naturalisasi baharu dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Shane Lowry yang baru mendapat kelulusan daripada FIFA untuk mewakili Malaysia bermula kelmarin.
© New Straits Times Press (M) Bhd