Ayer Molek: Polis menerima 37 laporan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 dan membuka 28 kertas siasatan sejak hari penamaan calon hingga semalam.
Baca juga: PRN Melaka: Ab Rauf, Adam Adli selesai mengundi
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, 25 kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya manakala tiga lagi masih dalam siasatan.
Beliau berkata, kebanyakan kes yang dilaporkan membabitkan perbuatan khianat yang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini, kita terima 37 laporan polis dan buka 28 kertas siasatan dan yang sudah hantar kepada Timbalan Pendakwa Raya sebanyak 25 kes manakala tiga lagi masih dalam siasatan.
“Kebanyakan kes khianat,” katanya pada sidang media di Sekolah Kebangsaan Bendahara Seri Maharaja Jalan Kandang di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau meninjau pusat pengundian di sini dan mendapati proses pengundian berjalan lancar dan orang ramai hadir seawal jam 7.20 pagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, kawalan ketat turut dilakukan di beberapa kawasan tumpuan menjelang pengumuman keputusan PRN Melaka termasuk menempatkan 1,000 anggota polis sehingga pasca pilihan raya.
“Kita kekalkan 1,000 lebih anggota untuk pasca pilihan raya ini sehinggalah ke minggu depan untuk elakkan perkara yang tidak dijangka.
“Kita memang ada beberapa kawasan hotspot terutamanya macam Seri Bendahara, Seri Negeri, Istana. Itu adalah kawasan-kawasan hotspot yang kita akan kawal,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai sentiasa mematuhi peraturan dan tidak membuat kekacauan.
“Kita faham walaupun pilihan raya ini lima tahun sekali, orang memang teruja untuk meraikannya. Tetapi janganlah disebabkan keterujaan itu kita menyusahkan orang lain.
“Saya mohon mana-mana parti yang hendak meraikan kemenangan malam ini supaya lebih berhemah, bertoleransi dan saling menghormati. Jangan timbulkan provokasi atau cuba mengadu domba sehingga mencetuskan kekecohan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd