suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Baca juga: Elina lakar kejutan singkir Aryna
Kota Melaka: Selesai melakukan aktiviti joging dan menikmati sarapan pagi, seorang pesara kerajaan, Jusop Karim tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Duyong, di sini, pagi ini.
Jusop, 80, berkata, dia yang memulakan pagi dengan berjoging mengambil kesempatan singgah di pusat mengundi berkenaan sebelum meneruskan urusan lain.
“Saya joging dulu lepas tu singgah minum kemudian baru mengundi pagi ni.
“Saya pun sudah umur 80 tahun, sudah berapa kali pilihan raya dan masih teruja menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di SK Seri Duyong, di sini, pagi ini.
Mengulas persaingan di DUN Duyong, pengundi warga emas itu menyifatkan saingan kali ini sengit antara parti yang bertanding berdasarkan maklumat yang diperolehnya.
Bagaimanapun, beliau berharap calon yang mempunyai hubungan rapat dengan penduduk setempat dapat memenangi pilihan raya berkenaan.
“Saya tidak kira siapa yang menang yang penting mereka dapat tunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di pusat mengundi SK Seri Duyong mendapati pengundi mula berbaris di hadapan sekolah seawal jam 7 pagi sebelum pusat mengundi dibuka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam 8 pagi.
Untuk rekod, penyandang kerusi DUN Duyong yang juga calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Poo Long Suan.
Daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan seramai 26,528 pengundi berdaftar, meningkat berbanding 18,237 pengundi pada PRN 2021, sekali gus menyaksikan pertambahan 8,291 pengundi di DUN Duyong.
© New Straits Times Press (M) Bhd