ROM: Juara dunia Formula Satu (F1), Andrea Kimi Antonelli tidak dapat menahan sebak ketika menyaksikan perlawanan bola sepak antara Itali dan Perancis di Stadium San Siro.
Baca juga: Luahan istimewa Carrick buat United
Antonelli yang dinobatkan sebagai juara dunia F1 termuda dalam sejarah di Mexico, mengambil kesempatan mengisi masa lapang dengan menyaksikan kemenangan 3-1 Itali ke atas Perancis pada aksi Liga Negara-Negara di Stadium San Siro.
Ketika perlawanan berlangsung, Antonelli dilihat menitiskan air mata selepas kira-kira 70,000 penonton mula melaungkan namanya sebagai tanda penghormatan kepada wira sukan baharu Itali itu.
“Wow,” kata Antonelli ketika reaksinya dipaparkan pada skrin besar stadium selepas menerima sambutan luar biasa daripada penyokong.
Ia adalah kali pertama Antonelli menerima sorakan gemuruh penyokong di tanah airnya sejak dinobatkan sebagai juara dunia dengan baki empat perlumbaan musim ini.
Antonelli bukan sahaja memecahkan rekod sebagai pelumba termuda memenangi kejuaraan dunia pada usia 20 tahun, malah menjadi pelumba Itali pertama merangkul gelaran dunia kategori pemandu dalam tempoh 73 tahun.
Dia turut menjadi pelumba Itali pertama memenangi perlumbaan di laman sendiri dalam tempoh 60 tahun selepas mempamerkan kebangkitan luar biasa di Monza apabila bermula dari petak ke-19 sebelum muncul juara.
Kedudukan kelima pada perlumbaan di Brazil sebelum ini turut membantu pasukannya, Mercedes, mengesahkan kejuaraan dunia pengeluar.
Selepas berehat selama seminggu, Antonelli akan kembali beraksi pada Grand Prix (GP) Las Vegas, 22 November ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd