LATEST

GST bukan penyelesaian segera kepada kekangan hasil kerajaan

GST bukan penyelesaian segera kepada kekangan hasil kerajaan

PETALING JAYA: Pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak seharusnya dilihat sebagai penyelesaian segera kepada kekangan hasil kerajaan, sebaliknya kecekapan perbelanjaan awam perlu diberi keutamaan bagi memastikan sumber kewangan negara diurus secara optimum.

Penyelidik Ekonomi LEGASI Research, Firdzan Nur Yassin berkata, kerajaan perlu menilai semula perbelanjaan sedia ada, termasuk mengurangkan pembaziran dan memastikan peruntukan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan sebelum mempertimbangkan pengenaan cukai tambahan.

Baca juga: 79 calon menanti mandat rakyat

Menurutnya, persoalan utama bukan sekadar menentukan sama ada GST atau Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lebih sesuai, tetapi mengenal pasti punca kerajaan masih berdepan kekangan hasil sehingga memerlukan sumber pendapatan tambahan.

“Persoalan sebenar bukanlah sama ada GST atau SST lebih baik, tetapi mengapa kerajaan masih berdepan masalah kekurangan hasil sehingga perlu mempertimbangkan cukai tambahan.

“Kita sepatutnya melihat semula kecekapan perbelanjaan kerajaan terlebih dahulu, termasuk mengurangkan pembaziran dan memastikan peruntukan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan ti­dak akan memperkenalkan semula cukai barang dan perkhid­matan (GST) ketika ini kerana sistem percukaian itu bersifat menyeluruh dan berpotensi membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Mengulas lanjut, Firdzan berkata, kerajaan perlu memastikan perbelanjaan awam diurus dengan lebih cekap sebelum membincangkan keperluan memperkenalkan sistem percukaian baharu bagi menambah hasil negara.

“Perbelanjaan subsidi bahan api yang dianggarkan sekitar RM40 bilion pada 2026 turut memerlukan penelitian semula bagi memastikan manfaatnya diagihkan secara lebih bersasar.

“Kajian terdahulu Bank Negara Malaysia menunjukkan golongan berpendapatan tinggi pernah menikmati 42 peratus daripada subsidi bahan api,” katanya. 

Tambahnya, berdasarkan kadar itu sebagai andaian, hampir RM17 bilion setahun berpotensi dinikmati golongan berpendapatan tinggi, walaupun angka tersebut tidak menggambarkan pengagihan subsidi sebenar pada masa ini.

Jelasnya, peruntukan sebesar itu menunjukkan kepentingan kerajaan memperkemas mekanisme subsidi supaya bantuan dapat disalurkan kepada kumpulan yang lebih memerlukan.

Dalam pada itu, beliau berpandangan kedua-dua GST dan SST mempunyai ciri regresif kerana golongan berpendapatan rendah cenderung menanggung beban cukai yang lebih tinggi berbanding pendapatan mereka.

“Perkara itu turut dibangkitkan oleh ahli ekonomi, Professor Jomo Kwame Sundaram, sekali gus menunjukkan keperluan menilai kesan sesuatu sistem percukaian terhadap kumpulan pendapatan berbeza sebelum sebarang perubahan dasar dilaksanakan,” katanya.  – UTUSAN

The post GST bukan penyelesaian segera kepada kekangan hasil kerajaan appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news