LONDON: Michael Carrick mengucapkan selamat maju jaya kepada Manchester United, 24 jam selepas dipecat, sambil menegaskan cintanya terhadap kelab itu tidak akan pernah berubah.
Baca juga: PKBM gesa kerajaan tambah baik dasar pembinaan, bela kontraktor kecil
Carrick yang mengambil alih tugas sebagai pengurus interim selepas perpisahan Ruben Amorim pada Januari lalu, mencuri perhatian apabila berjaya membantu United layak ke Liga Juara-Juara.
Prestasi itu menyaksikan dia diberikan kontrak tetap selama dua tahun, namun keputusan pasukan merosot teruk pada musim ini.
The Red Devils kini berada dalam zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas hanya mencatat satu kemenangan daripada 10 perlawanan liga setakat ini.
Kelab Old Trafford itu, hari ini mengumumkan bekas pengendali Tottenham, Chelsea dan Paris Saint-Germain, Mauricio Pochettino yang kini membimbing skuad kebangsaan Amerika Syarikat (AS), sebagai pengganti Carrick.
Meskipun prestasi pasukan merosot musim ini, Carrick kekal popular dalam kalangan penyokong kerana sumbangannya sebagai pemain ketika membantu United meraih pelbagai kejayaan di bawah kendalian Alex Ferguson yang bersara pada 2013.
Bekas pemain tengah England berusia 45 tahun itu menegaskan kasih sayangnya terhadap kelab berkenaan tidak pernah berubah.
“Saya hanya mahukan kejayaan buat Manchester United. Kelab ini memainkan peranan besar dalam hidup saya dan perkara itu tidak akan pernah berubah,” tulis Carrick menerusi hantaran di Instagram.
“Saya akan sentiasa berbangga kerana pernah menjadi sebahagian daripada kelab ini dan sentiasa mengharapkan yang terbaik untuknya.
“Saya akan terus bersama anda semua selepas ini, menyaksikan dari tepi padang dan memberikan sokongan kepada pemain.”
Beliau turut memberikan penghargaan kepada penyokong, barisan kejurulatihan dan pemain United.
“Saya mendapat penghormatan yang amat besar apabila diberi peluang memimpin Manchester United, kelab bola sepak yang saya cintai.
“Tidak ramai yang berpeluang merasai pengalaman seperti itu dan saya amat bersyukur. Bersama peluang itu hadir tanggungjawab yang besar dan untuk berada di Manchester United, anda perlu benar-benar memahami maksudnya.
“Ia berbeza daripada mana-mana kelab lain. Akhirnya, anda perlu berusaha untuk menjadi yang terbaik, tetapi terdapat budaya, nilai dan tingkah laku yang perlu diamalkan serta dihormati, yang dibina sejak sekian lama.
“Kelab bola sepak ini unik, mempunyai identiti dan sejarah yang tidak boleh diketepikan. Inilah yang menjadi inspirasi kepada saya setiap hari.”
Carrick turut menyifatkan penyokong United sebagai kelompok istimewa yang sukar ditemui.
“Kami melalui beberapa detik hebat tahun ini dan mencipta kenangan yang akan terus diingati.
“Perkara paling bermakna ketika berada dalam kedudukan saya ialah melihat begitu ramai daripada anda tenggelam dalam emosi ketika detik-detik itu, sebelum meninggalkan stadium dengan penuh keterujaan untuk kembali menyaksikannya pada perlawanan seterusnya.
“Saya hanya mahu membalas segala yang diberikan kepada saya. Cinta itu tidak pernah pudar.”
© New Straits Times Press (M) Bhd