am@hmetro.com.my
Baca juga: Anwar ucap takziah kepada keluarga Zahidi Zainul
Kuala Lumpur: Seorang lelaki ditahan polis susulan penemuan beg bagasi mencurigakan di hentian bas di hadapan bangunan KLCC, Jalan Ampang, di sini, malam ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin, berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan beg berkenaan pada jam 7.17 malam.
Katanya, Unit Pemusnah Bom (UPB), Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Forensik Polis Kuala Lumpur kemudian dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan UPB, Unit K9 dan Forensik Polis Kuala Lumpur hadir ke tempat kejadian bagi mengawal keadaan dan mengesahkan tiada sebarang ancaman bom dalam bagasi itu.
“Susulan itu, pihak polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan gangguan terhadap proses siasatan.
Terdahulu, beberapa hantaran di Threads tular selepas pengguna media sosial mempersoalkan kehadiran polis dan kesesakan lalu lintas di sekitar pintu masuk utama KLCC.
Seorang pengguna turut mendakwa laluan keluar di kawasan berkenaan tidak dapat digunakan, manakala hantaran lain memaparkan beberapa kenderaan polis di lokasi kejadian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 atau 03-2146 0585, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd