LATEST

UiTM ungguli FFVPM14, raih Geran Penerbitan Filem Pendek RM50,000

UiTM ungguli FFVPM14, raih Geran Penerbitan Filem Pendek RM50,000

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Baca juga: Wanita maut, dipercayai dijerut

Kuala Lumpur : Universiti Teknologi MARA (UiTM) dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan Festival Filem Video Pelajar Malaysia Ke-14 (FFVPM14) selepas mendominasi 10 daripada 22 kategori yang dipertandingkan pada malam kemuncak acara itu di Panggung Eksperimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di sini, malam tadi.

Kejayaan cemerlang itu sekali gus menyaksikan UiTM menewaskan saingan sengit tuan rumah, ASWARA yang mengekori rapat di tempat kedua menerusi kemenangan sembilan anugerah.

Dominasi UiTM disumbangkan menerusi naskhah Kola Loompor arahan Aween Aisham yang merangkul anugerah tertinggi, Anugerah Keseluruhan (Best of The Best), sekali gus membawa pulang trofi berserta Geran Penerbitan Filem Pendek bernilai RM50,000 di bawah Dana Pemangkin Generasi MADANI.

Selain trofi utama, Kola Loompor turut membolot enam lagi kategori iaitu Skrip Terbaik dan Pengarah Harapan Terbaik menerusi Aween Aisham; Sinematografi Terbaik dan Penyunting Terbaik (Harriss Hazrey); Pelakon Harapan Wanita (Fainatul Iklisha); serta Rekaan Set Terbaik (Pena Qalam).

Tiga lagi kemenangan UiTM pula hadir menerusi naskhah Between Waves bagi kategori Filem Dokumentari Pendek Terbaik, Sang Kercis (Filem Animasi Pendek Terbaik) dan Memories SOG (Video Muzik Terbaik).

Sementara itu, ASWARA tidak kurang hebatnya apabila mendahului kategori utama Anugerah Filem Pendek Terbaik menerusi Malam Bersiong.

Karya berkenaan turut cemerlang dalam tiga lagi kategori iaitu Susunan Muzik Terbaik (Nikjay Sharafuddean) serta Kostum Terbaik dan Tatarias Terbaik menerusi Ismadini.

Lima lagi trofi ASWARA diraih menerusi Rahsia Cinta bagi Anugerah Khas Juri dan Pelakon Harapan Lelaki (Dhinesha Karthigesu); DS bagi Poster Terbaik (Nik Amir) dan Penataan Seni Terbaik (Nur Sufyah Addin); serta O bagi kategori Penataan Bunyi Terbaik (Zahirah).

Dalam pada itu, baki tiga lagi kategori pula dimenangi oleh Multimedia University (MMU) menerusi Isa Izzuddin Attaqi dan Alya Aishah (Delusi) bagi Kesan Khas Terbaik; Taylor’s University menerusi Xavier Tang (50 DB) bagi Pelakon Harapan Kanak-Kanak serta Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur menerusi Karya 100 bagi Anugerah Bakat Muda.

FFVPM14 mengangkat tema Manifestasi MADANI, Mahakarya Generasi kembali dianjurkan selepas kali terakhir diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim pada 2022.

Penganjuran kali ini berjaya menghimpunkan sebanyak 177 penyertaan daripada 35 institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah seluruh negara dengan panel juri diketuai oleh pengarah tersohor, Dain Said.

Selain geran penerbitan, kesemua pemenang bagi 22 kategori yang dipertandingkan turut membawa pulang trofi serta hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM25,000.

Majlis anjuran Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem ASWARA dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengerusi Lembaga Pengarah ASWARA, Datuk Syafinaz Selamat; Rektor ASWARA, Datuk Ainu Sham Ramli; Pengerusi FINAS, Datuk Dr Hans Isaac serta Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Acara dihoskan oleh pasangan alumni ASWARA, Zulin Aziz dan Kai Hassan itu turut dimeriahkan dengan persembahan bertenaga kumpulan Floor 88 serta kehadiran barisan alumni popular seperti Zahiril Adzim, Amerul Affendi, Ariff Zulkarnain, Che Kem dan Aiman Arif.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news