am@hmetro.com.my
Baca juga: Wanita maut dipercayai dijerut anak sendiri di Banting
Kangar: Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga bekas Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin dilaporkan meninggal dunia di Pulau Pinang, hari ini.
Berita mengenai pemergian Zahidi dikongsikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Shahidan Kassim menerusi hantaran di laman sosial rasminya, kira-kira jam 9.30 malam tadi.
“Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham Datuk Zahidi. Saya amat berdukacita menerima berita pemergian sahabat saya ini.
“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkan beliau dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh,” katanya.
Shahidan turut mendoakan seluruh ahli keluarga Zahidi dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian kehilangan berkenaan.
Allahyarham dilaporkan meninggal dunia petang tadi.
Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bayan Lepas, Pulau Pinang, selepas solat Isyak malam ini.
Zahidi menggalas jawatan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia dari Mac 2020 hingga November 2022 ketika era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dari September 2015 hingga Disember 2018.
Dalam arena politik Perlis, Allahyarham pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dari 1999 hingga 2006 di bawah pentadbiran Shahidan selaku Menteri Besar.
Beliau juga adalah bekas Ahli Parlimen Padang Besar selama dua penggal bermula 2013 hingga 2022, selain menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri (1999-2008).
Allahyarham yang juga bekas pemimpin UMNO sebelum menyertai PKR, turut pernah menggalas tugas sebagai Pengerusi Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM).
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, nama Allahyarham digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Padang Besar.
Beliau kemudiannya bertanding atas tiket Bebas, namun tewas dalam saingan lima penjuru yang akhirnya dimenangi oleh calon Perikatan Nasional (PN), Rushdan Rusmi.
© New Straits Times Press (M) Bhd