LATEST

Moriyasu tinggalkan Jepun lebih awal susulan penangguhan Piala Asia

Moriyasu tinggalkan Jepun lebih awal susulan penangguhan Piala Asia

Tokyo: Pengendali Jepun, Hajime Moriyasu akan meninggalkan jawatan ketua jurulatih minggu depan, lebih awal daripada perancangan asal susulan penangguhan Piala Asia 2027.

Baca juga: Wanita ‘terseksa’ 8 jam cincin suasa tersekat di jari

Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) mengesahkan perlawanan persahabatan menentang Brazil di Singapura, Sabtu ini dan Paraguay, Selasa depan menjadi aksi terakhir buat Moriyasu selepas mengendalikan skuad Samurai Biru sejak 2018.

Pengendali berusia 58 tahun itu pada asalnya dijadualkan membimbing Jepun pada Piala Asia 2027 di Arab Saudi, Januari depan sebelum menyerahkan tugas kepada ketua jurulatih B-23 negara itu, Go Oiwa.

Bagaimanapun, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) minggu lalu mengumumkan kejohanan berkenaan ditunda ke Disember 2027 berikutan keadaan luar biasa di rantau berkenaan susulan serangan kumpulan Houthi ke atas Arab Saudi.

Perubahan jadual itu menyebabkan perancangan peralihan kepimpinan skuad kebangsaan Jepun turut berubah, sekali gus mempercepatkan keputusan Moriyasu untuk melepaskan jawatan.

Moriyasu yang merupakan pengendali paling lama berkhidmat bersama Jepun meninggalkan legasi tersendiri apabila membimbing pasukan itu mencipta kejutan menewaskan Jerman dan Sepanyol pada Piala Dunia 2022 di Qatar.

Jepun kemudian mara ke pusingan 16 terakhir sebelum tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Croatia.

Pada Piala Dunia tahun ini di Amerika Utara, Jepun mara ke pusingan 32 terbaik sebelum tewas 1-2 kepada Brazil menerusi jaringan pada minit terakhir perlawanan.

Dalam perkembangan sama, JFA turut membatalkan aksi persahabatan yang dijadual berlangsung di Osaka pada 30 Disember ini sebagai persiapan menghadapi Piala Asia.

Presiden JFA, Tsuneyasu Miyamoto berkata, perlawanan itu sebelum ini dianggap sebagai peluang penting untuk memperkukuhkan skuad kebangsaan, namun penangguhan kejohanan memaksa pihaknya menyemak semula perancangan pasukan.

“Kami menganggap perlawanan ini sebagai peluang penting untuk memperkukuhkan pasukan Jepun dan sudah membuat persiapan rapi.

“Namun, susulan penangguhan Piala Asia dan selepas mengambil kira jadual skuad kebangsaan, kami memutuskan untuk membatalkan perlawanan itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news