sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Mekdi teruskan tradisi rumah terbuka, raikan Deepavali bersama komuniti
Kuala Lumpur: Kenaikan ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi acara berpasukan disifatkan tepat pada masanya untuk memberi dorongan kepada pelumba muda negara menghadapi Sukan SEA 2027 dan kelayakan Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, penambahbaikan itu bukan sahaja mengiktiraf pengorbanan atlet, malah memastikan setiap anggota pasukan menerima ganjaran lebih adil berdasarkan sumbangan mereka.
Beliau menyambut baik keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) menaikkan ganjaran pingat emas bagi setiap atlet acara berpasukan daripada RM15,000 kepada RM40,000, iaitu peningkatan sebanyak 166.67 peratus.
Bagi pingat perak, ganjaran dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM20,000, manakala pingat gangsa meningkat daripada RM4,000 kepada RM10,000 bagi setiap atlet.
“Langkah ini tepat pada masanya dan adil kepada atlet acara berpasukan kerana mengiktiraf usaha mereka secara saksama. Ia juga memberi dorongan kepada pelumba muda kita menjelang Sukan SEA 2027 dan kitaran kelayakan Los Angeles 2028,” katanya menerusi kenyataan media.
Bagi sukan berbasikal, penambahbaikan itu memberi manfaat langsung kepada empat pelumba skuad pecut berpasukan wanita yang meraih pingat perak pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, iaitu Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Nur Alyssa Mohd Farid, Anis Amira Rosidi dan Nurul Aliana Syafika Azizan.
Di bawah kadar terdahulu, setiap pelumba menerima RM10,000 daripada jumlah RM40,000 yang diperuntukkan kepada pasukan, namun menerusi kadar baharu, setiap seorang bakal menerima RM20,000.
Secara keseluruhan, empat atlet berbasikal negara itu akan menerima tambahan ganjaran RM40,000, manakala jurulatih memperoleh tambahan RM8,000 menerusi Skim Galakan Jurulatih (SGAR), menjadikan jumlah keseluruhan RM48,000.
Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari atas tindakan pantas meluluskan penambahbaikan itu.
Katanya, kadar ganjaran acara berpasukan tidak berubah selama 24 tahun sejak diperkenalkan pada 2002, namun kenaikan itu dipersetujui hanya seminggu selepas Majlis Penyampaian SHAKAM pada 3 November lalu.
Skuad berbasikal trek negara menamatkan saingan di Aichi-Nagoya dengan satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa, termasuk kejayaan skuad pecut berpasukan wanita yang membuktikan kemampuan generasi baharu pelumba negara untuk bersaing di peringkat Asia.
PKBM yakin penambahbaikan itu mampu menggalakkan pembangunan acara berpasukan dalam berbasikal trek, selain memperluas kumpulan bakat negara bagi menghadapi cabaran antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd