am@hmetro.com.my
Baca juga: Pochettino kendali United hingga 2029
Seremban: Undang Luak Jelebu yang baharu, Datuk Azrin Khairi membuat permohonan deklarasi di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa beliau sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 yang sah seperti mana dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 14 Oktober 2026.
Dalam permohonan dibuat di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain, beliau turut memohon deklarasi supaya Datuk Maarof Mat Rashad diberhentikan daripada jawatan dan gelaran sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 berkuat kuasa pada 31 Mei 2023.
Pemberhentian itu menurut permohonan berkenaan dibuat selepas dinasihatkan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan dalam persidangan pada 31 Julai lalu sebelum diwartakan pada 23 Oktober 2026.
Beliau turut memohon injunksi kekal bagi menghalang Maarof daripada menggunakan gelaran Undang Luak Jelebu, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman atau Yang Teramat Mulia, selain menjalankan sebarang fungsi jawatan berkenaan.
Permohonan berkenaan bertujuan menghalang Maarof daripada mengadakan atau menghadiri sebarang majlis dan istiadat adat atas kapasiti sebagai Undang Luak Jelebu, termasuk Majlis Pengukuhan Adat dan Pemegang Pesaka Luak Jelebu yang dijadualkan berlangsung pada 15 November ini.
Selain itu, Azrin memohon supaya Maarof dihalang daripada melantik atau melucutkan mana-mana pemegang pesaka dan jawatan adat, mengeluarkan dokumen rasmi menggunakan nama Undang Luak Jelebu serta menggunakan Balai Undang Luak Jelebu bagi tujuan berkenaan.
Beliau turut memohon injunksi mandatori yang mengarahkan Maarof menurunkan, memadam dan menarik balik segala poster, hantaran, kenyataan serta bahan yang menghebahkannya sebagai Undang Luak Jelebu dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh perintah dikeluarkan.
Dalam prosiding itu, mahkamah turut mendengar permohonan Azrin bagi mendapatkan injunksi interim secara ex-parte bagi menghalang Maarof daripada bertindak sebagai Undang Luak Jelebu sementara menunggu pelupusan kes.
Roz Mawar bagaimanapun mengarahkan permohonan diteruskan secara inter-parte, iaitu dengan kehadiran kedua-dua pihak selain memastikan notis permohonan berkenaan diserahkan kepada Maarof.
Beliau turut menolak permohonan Azrin untuk mendapatkan perintah ad-interim selepas mendapati tiada alasan kukuh untuk membenarkan perintah berkenaan.
Mahkamah menetapkan 17 Disember depan sebagai tarikh pendengaran bagi kedua-dua permohonan berkenaan secara sidang video.
© New Straits Times Press (M) Bhd