LATEST

‘Jaga-jaga taktik kotor saat akhir parti lawan’ – Asyraf Wajdi

‘Jaga-jaga taktik kotor saat akhir parti lawan’ – Asyraf Wajdi

am@hmetro.com.my

Baca juga: MPR pilih pengganti Gibran 2 Disember

Masjid Tanah: Jentera dan pengundi Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan taktik kempen saat akhir pihak lawan menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, esok.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, peringatan itu penting bagi memastikan jentera parti tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi, termasuk kemungkinan penggunaan bahan kempen tertentu atau politik wang.

Beliau berkata, pengundi juga perlu kekal dengan pendirian masing-masing tanpa dipengaruhi sebarang tawaran atau tindakan pihak tertentu pada saat akhir.

“Kita selalu mengingatkan pengundi. Jika mereka menggunakan wang…ambillah, itu hak anda semua.

“Tetapi yang paling penting, kita tetapkan iman dan keteguhan hati kita untuk mengundi calon BN dan Perikatan Nasional (PN),” katanya selepas menyertai ‘flashmob’ BN di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, di Pekan Masjid Tanah di sini, hari ini.

Turut hadir, calon BN DUN Lendu yang juga Ketua Pemuda UMNO Melaka, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi MARA berkata, pada masa sama, seluruh jentera BN sentiasa diingatkan supaya mengamalkan pendekatan kempen berhemah dan tidak terjebak dengan budaya politik menyerang peribadi atau menyebarkan fitnah.

“Yang penting, jentera BN sentiasa diingatkan supaya berkempen secara berhemah, tidak mengutuk, tidak mengeji, tidak memaki hamun, jauh sekali memfitnah parti lawan.

“Kita hanya menunjukkan prestasi kerja dan khidmat bakti kerajaan Melaka di bawah pemerintahan BN sebelum ini,” katanya.

Beliau menegaskan, pendekatan kempen BN adalah dengan mengetengahkan rekod pencapaian dan perkhidmatan kerajaan negeri sebagai asas penilaian pengundi, bukannya memainkan sentimen atau emosi.

“Jadi yang paling penting, nilai kami berasaskan prestasi, bukan emosi,” katanya.

PRN Melaka ke-16 berlangsung esok, dengan pengundi akan menentukan wakil rakyat bagi membentuk pentadbiran kerajaan negeri untuk penggal akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news