am@hmetro.com.my
Baca juga: Selangor umum Bantuan Khas Kewangan dua bulan gaji kepada penjawat awam
Kota Kinabalu: Kawasan Pantai Timur Sabah terus mencatatkan rekod sifar kes penculikan sejak 15 Januari 2020, sekali gus meningkatkan keyakinan pelancong asing terhadap tahap keselamatan di kawasan berkenaan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Victor Sanjos berkata, kejayaan itu hasil kesinambungan usaha kepimpinan terdahulu serta kerjasama erat pelbagai pihak dalam memastikan keselamatan terus terpelihara.
“Di bawah kepimpinan peneraju sebelum ini, sejak 15 Januari 2020 hingga hari ini, kita masih berjaya mengekalkan rekod sifar kes penculikan.
“Apabila tahap keselamatan terjamin, pembangunan di Pantai Timur Sabah dapat berjalan lancar dan semakin meningkat, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
“Kejayaan ini turut memberi kesan positif apabila kebanyakan negara luar menurunkan tahap amaran atau nasihat perjalanan ke kawasan berkenaan daripada tahap tiga dan dua kepada tahap satu,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.
Victor berkata, penurunan tahap amaran perjalanan itu turut menyumbang kepada peningkatan kehadiran pelancong asing ke Sabah.
Sementara itu, beliau berkata kunjungan hormat berkenaan bertujuan memaklumkan secara rasmi pelantikannya sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah, selain memperkenalkan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Abdul Fuad Abdul Malek yang akan mengambil alih jawatan itu pada 19 November ini.
Katanya, beliau yakin pengalaman dan pengetahuan luas Abdul Fuad mengenai selok-belok keselamatan di Sabah mampu memastikan tahap keselamatan kawasan ESSCOM terus terpelihara.
© New Straits Times Press (M) Bhd