LATEST

Pengurusan diabetes diperkukuh, 12,000 petugas disasar dilatih

Pengurusan diabetes diperkukuh, 12,000 petugas disasar dilatih

Pengurusan diabetes bukan hanya bergantung kepada rawatan perubatan, sebaliknya perubahan gaya hidup seperti pemakanan seimbang, aktiviti fizikal dan pengurusan berat badan turut memainkan peranan penting dalam membantu pesakit mengawal keadaan kesihatan mereka.

Menyedari kepentingan pendekatan itu, Program Gaya Hidup Diabetes (DLP) Malaysia diperbaharui untuk tempoh lima tahun lagi bagi memperluas sokongan kepada pesakit serta meningkatkan keupayaan profesional kesihatan dalam memberikan bimbingan yang bersesuaian.

Baca juga: Kerajaan tunggu laporan impak insiden gangguan Microsoft

Menerusi fasa baharu itu, program berkenaan menyasarkan latihan tambahan kepada 10,000 hingga 12,000 profesional kesihatan, selain memperkenalkan aplikasi mudah alih untuk membantu pesakit memantau amalan gaya hidup mereka.

Pembaharuan itu membabitkan enam badan profesional kesihatan, iaitu Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA), Persatuan Dietitian Malaysia (MDA), Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES) dan Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia (AFPM).

Bimbing pesakit ubah gaya hidup

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azman Yacob, berkata diabetes terus menjadi antara isu kesihatan utama negara kerana kesannya turut melibatkan keluarga, komuniti, sistem penjagaan kesihatan dan ekonomi.

Menurutnya, kemajuan rawatan perubatan perlu disokong usaha pencegahan, intervensi awal dan pengurusan kendiri secara berterusan bagi membantu meningkatkan hasil kesihatan pesakit.

Beliau berkata, DLP membantu memperkukuh kemahiran profesional kesihatan untuk membimbing individu dengan diabetes mengamalkan perubahan gaya hidup lebih sihat menerusi pendidikan berasaskan bukti dan kerjasama pelbagai disiplin.

Sejak diperkenalkan pada 2021 dengan sokongan Abbott, program itu sudah melatih 11,570 profesional kesihatan, manakala 5,360 daripadanya diiktiraf sebagai Advokat DLP.

Pelaksanaannya turut diperluas ke 51 Klinik Kesihatan di seluruh negara pada 2023, dengan pesakit diberikan sokongan perubahan gaya hidup berstruktur serta akses kepada platform berasaskan web.

Pesakit yang melengkapkan program selama enam bulan itu menunjukkan penambahbaikan dari segi berat badan, paras HbA1c, glukosa darah puasa dan faktor risiko kardiometabolik.

Pada 2025, platform berkenaan ditambah baik dengan ciri yang membantu pesakit menguruskan pemakanan, aktiviti fizikal, pemantauan kendiri glukosa darah serta perubahan tingkah laku. 

Program itu turut diperluas ke peringkat penjagaan pakar menerusi projek rintis di Institut Endokrin, Hospital Putrajaya.

Aplikasi mudah alih sokong pemantauan pesakit

Pengerusi Panel Pakar DLP, Datuk Dr Zanariah Hussein, berkata fasa seterusnya akan memberi penekanan kepada peluasan latihan, pengukuhan panduan klinikal dan penggunaan teknologi digital bagi membantu profesional kesihatan serta pesakit.

Selain latihan tambahan, aplikasi mudah alih yang dirancang dalam Fasa 2 akan membolehkan pengguna merancang pemakanan, merekod pengambilan makanan dan aktiviti fizikal, menetapkan matlamat kesihatan serta memantau perkembangan masing-masing.

DLP turut akan membangunkan kerangka profesional berasaskan bukti bagi membantu petugas kesihatan memberikan kaunseling mengikut keperluan individu.

Panduan itu merangkumi aspek pemakanan, aktiviti fizikal, pengurusan berat badan, tidur dan perubahan tingkah laku, selain mengambil kira kesesuaian budaya tempatan.

Menurut Dr Zanariah, usaha berkenaan bertujuan memastikan intervensi gaya hidup berstruktur lebih mudah diakses dan diterapkan pada setiap peringkat penjagaan diabetes.

Pembaharuan program itu dimeterai dalam satu majlis sempena Bulan Diabetes Sedunia, disaksikan Dr Mohd Azman.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web DLP.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news